X

Kindly register in order to view this article
!

Ahad | 22 Mei 2022

[VIDEO] Peniaga melecur tersimbah minyak panas ketika ribut

Keadaan khemah gerai Yasmin yang diterbangkan ribut dalam kejadian di Bandar Meru Raya pada Isnin
A
A

IPOH - Seorang peniaga melecur pada kedua-dua kaki selepas tersimbah minyak panas dalam kejadian ribut di Bandar Meru Raya pada petang Isnin.

Menceritakan detik cemas itu, Zaquan Jamaluddin, 30, berkata, kejadian berlaku sekitar jam 5.30 petang bermula dengan hujan gerimis disertai angin kuat yang menerbangkan beberapa khemah perniagaan di situ.

Menurutnya, ketika sedang memegang khemah yang sedang diterbangkan angin, tidak semena-mena peralatan menggoreng ayam bersama minyak panas sebanyak 34 kilogram terbalik akibat ribut berkenaan.

"Minyak panas itu tersimbah terus ke kaki saya. Memang tak sempat nak mengelak sebab kami semua sibuk pegang khemah kerana takut terbang.

"Kawan saya seorang terkena sedikit minyak panas. Mula-mula saya dapatkan rawatan di klinik berhampiran tetapi selepas itu rasa sakit sangat saya hubungi ambulans dan terus ke hospital untuk rawatan lanjut," katanya kepada Sinar Harian ketika ditemui pada Selasa.

Keadaan kaki Zaquan yang melecur akibat tersimbah minyak panas dalam kejadian ribut di Bandar Meru Raya pada Isnin.
Keadaan kaki Zaquan yang melecur akibat tersimbah minyak panas dalam kejadian ribut di Bandar Meru Raya pada Isnin.

Menurut Zaquan, sejak menjalankan perniagaan pada tahun lalu, belum pernah kejadian ribut seteruk itu berlaku sehingga menyebabkan kecederaan.

Katanya, biarpun masih sakit, dia terpaksa meneruskan perniagaan kerana perlu mencari pendapatan dan membayar gaji pekerja.

"Selepas tamat operasi perniagaan semalam, kami terus mencari khemah baharu untuk digunakan bagi menjalankan perniagaan," katanya.

Seorang lagi peniaga, Yasmin Ishak, 26, berkata, kejadian ribut itu berlaku sekelip mata sehingga peniaga tidak sempat untuk menyelamatkan barang-barang terutama khemah.

"Saya dah dua tahun meniaga. Memang kawasan ini selalu berlaku angin kuat, tapi semalam agak kuat. Mujurlah peralatan dan khemah sahaja yang rosak.

"Rasanya lebih 10 peniaga berhampiran terjejas akibat ribut ini. Kebanyakan mereka mengalami kerosakan khemah meniaga," katanya yang menjual kuih keria.

Lebih 10 gerai usahawan yang terjejas akibat ribut di Bandar Meru Raya pada Isnin.
Lebih 10 gerai usahawan yang terjejas akibat ribut di Bandar Meru Raya pada Isnin.

Bagi penjual buah, Mohd Mahazir Abdul Latif, 32, kerugian yang dialami lebih RM4,000 melibatkan kerosakan tiga buah kanopi besar dan satu khemah kecil.

Katanya, ketika kejadian dia tiada di lokasi hanya seorang pekerja berada di gerai kira-kira jam 6 petang.

Menurutnya, mereka tidak menyangka khemah yang biasa digunakan untuk kenduri kahwin itu boleh diterbangkan angin sehingga di atas talian elektrik.

"Saya reda dengan apa yang berlaku. Memang tak boleh buat apa dah sebab angin terlalu kuat. Alhamdulillah, tak ada sesiapa yang cedera cuma khemah semua tak boleh guna.

"Sementara menunggu modal beli khemah baru, kami terpaksalah sewa sementara khemah untuk teruskan meniaga. Buat masa ini kami cuti dahulu untuk bersihkan kawasan ini," katanya.

Mohd Mahazir menunjukkan keadaan rangka khemahnya yang rosak akibat kejadian ribut yang berlaku di Bandar Meru Raya pada Isnin.
Mohd Mahazir menunjukkan keadaan rangka khemahnya yang rosak akibat kejadian ribut yang berlaku di Bandar Meru Raya pada Isnin.

Jelas Mohd Mahazir, sejak berniaga di situ pada 2018, tidak pernah berlaku ribut sekuat itu yang menjejaskan ramai peniaga di sekitar kawasan Bandar Meru Raya, di sini.

Dia berharap pihak berkaitan dapat berbuat sesuatu dengan memberikan sedikit bantuan kepada peniaga yang terjejas akibat bencana ribut tersebut.


Jangan lupa follow kami di Instagram, Telegram dan TikTok
Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!