Perlis perkenal Pelan Antirasuah

Azman
Azman
A
A
A

KANGAR - Kerajaan negeri Perlis melancarkan Pelan Antirasuah Negeri Perlis 2021-2025 dengan lima teras utama dalam usaha meningkatkan integriti dalam sistem penyampaian kerajaan.

Setiausaha Kerajaan Negeri Perlis, Azman Mohd Yusof berkata, pelan terbabit yang siap dirangka pada Disember lalu dilancarkan oleh Menteri Besar Perlis, Datuk Seri Azlan Man dalam Majlis Amanat Tahun Baharu 2022 pada 4 Januari lalu.

Katanya, teras pertama pelan terbabit melibatkan penekanan kepada urus tadbir kerajaan negeri manakala teras kedua adalah penekanan kepada sistem penyampaian.

"Teras ketiga memberi penekanan kepada sistem perolehan awam, teras keempat penekanan kepada perundangan dan penghakiman serta teras kelima penekanan kepada penguatkuasaan," katanya kepada Sinar Harian.

Menurutnya, dalam teras pertama kerajaan merangka satu polisi yang menetapkan setiap pegawai kerajaan akan bertukar tempat kerja dalam tempoh tertentu.

"Mungkin paling lama pun 5 tahun sahaja, ini kerana sekiranya terlalu lama seseorang pegawai itu berkhidmat di tempat sama, ia akan mendedahkan mereka kepada penyalahgunaan kuasa," katanya.

Katanya, dari segi perolehan awam pula, laporan akan disediakan bagi setiap projek yang dijalankan untuk memantau pelaksanaan sama ada terdapat kelewatan atau masalah-masalah berkaitan.

"Dari segi pemberian projek juga kita akan lakukan secara undian atau boleh diadakan secara penggiliran bagi kerja-kerja yang tidak tinggi nilainya iaitu antara RM10,000 hingga RM15,000," katanya.

Artikel Berkaitan:

Azman berkata, selain daripada pelan berkenaan, kerajaan negeri juga menyediakan Pelan Strategik Pendigitalan Pejabat SUK 2021-2025.

"Pelan ini lebih kepada usaha kita untuk membangunkan sistem perkhidmatan secara digital dengan mengurangkan urusan secara bersemuka.

"Apabila semua secara dalam sistem ia lebih mudah dan mengurangkan kecenderungan berlaku rasuah atau penyelewengan.

"Selain itu, sebarang data juga dapat dianalisis secara tepat kerana tiada gangguan daripada luar," katanya.

Azman dalam masa yang sama turut berharap pelan yang dilaksanakan itu mendapat sokongan daripada semua jentera kerajaan di Perlis dalam membangunkan sebuah kerajaan negeri bebas rasuah dan penyelewengan.