[VIDEO] Bot karam: Enam PATI maut, seorang kritikal dan enam selamat

Mayat PATI tragedi bot karam di perairan Pulau Pisang dibawa ke Jeti Pontian Besar pada petang Selasa.
Mayat PATI tragedi bot karam di perairan Pulau Pisang dibawa ke Jeti Pontian Besar pada petang Selasa.
A
A
A

PONTIAN - [DIKEMASKINI] Enam pendatang asing tanpa izin ( PATI) maut manakala seorang kritikal dan enam lagi terselamat dalam tragedi bot karam di perairan Pulau Pisang di sini dalam kejadian jam 12 tengah malam pada Isnin.

Mohamad Shofee ( dua dari kiri) dan Nurul Hizam ( kanan) pada sidang akhbar tragedi bot membawa PATi yang karam di perairan Pulau Pisang, Pontian pada Selasa.
Mohamad Shofee ( dua dari kiri) dan Nurul Hizam ( kanan) pada sidang akhbar tragedi bot membawa PATi yang karam di perairan Pulau Pisang, Pontian pada Selasa.

Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia), Laksamana Nurul Hizam Zakaria berkata, cuaca buruk dan ombak setinggi 1.5 hingga 3 meter menyebabkan bot terbabit dibadai ombak sebelum karam pada kedudukan 42 batu nautika daripada Pontian.

Katanya, bot sepanjang 7.61 meter itu dinaiki dua tekong lelaki dan 11 PATI wanita berusia 21 hingga 35 tahun itu dipercayai bertolak dari Pulau Jaloh Batam Indonesia kira-kira jam 9.30 malam Isnin.

"Mereka dipercayai mahu menyelusup masuk ke negara ini dengan melakukan pendaratan di sebuah jeti nelayan di Api-api di sini. Namun cuaca buruk dan ombak besar menyebabkan bot fiber terbabit dibadai ombak dan karam.

Wanita yang dipercayai selamat dalam tragedi bot karam di perairan Pulau Pisang pada Selasa.
Wanita yang dipercayai selamat dalam tragedi bot karam di perairan Pulau Pisang pada Selasa.

"Enam PATI termasuk dua tekong ditemui oleh nelayan tempatan di perairan Pulau Pisang kira-kira jam 10.00 pagi. Manakala seorang lagi dilaporkan kritikal dan kini menerima rawatan di Hospital Sultanah Aminah ( HSA) Johor Bahru,"katanya pada sidang akhbar di Jeti Nelayan Pontian Besar.

Hadir sama, Ketua Polis Daerah Pontian Mohamad Shofee Tayib.

Artikel Berkaitan:

Nurul Hizam berkata operasi mencari dan menyelamat dilakukan sebaik sahaja maklumat berhubung penemuan PATI terbabit dimaklumkan oleh nelayan tempatan.

"Usaha mencari dan menyelamat yang dilakukan akhirnya menemukan dua mayat dan seorang PATI iaitu wanita berusia 21 tahun dalam keadaan selamat. Mangsa berpaut pada pelampung hampir 13 jam sebelum diselamatkan pasukan penyelamat kira-kira jam 1 tengah hari.

Anggota penyelamat membawa mayat PATI tragedi bot karam di perairan Pulau Pisang ke Jeti Pontian Besar pada petang Selasa.
Anggota penyelamat membawa mayat PATI tragedi bot karam di perairan Pulau Pisang ke Jeti Pontian Besar pada petang Selasa.

"Kemudian pada jam 2 petang, empat lagi mayat ditemui dan kesemua mayat dibawa ke Jeti Pontian Besar sebelum dihantar ke Unit Forensik Hospital Pontian untuk bedah siasat," katanya.

Menurut Mohamad Shofee, dua tekong berumur lingkungan 30an disiasat mengikut Seksyen 26A Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007 serta Seksyen 6 (1) (c) Akta Imigresen.

Katanya, perintah reman terhadap tekong terbabit akan dimohon di Mahkamah Majistret Pontian pada Rabu.

"Operasi mencari dan menyelamat yang disertai Polis Diraja Malaysia, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Angkatan Pertahanan Awam ditamatkan jam 3.45 petang, " katanya.