X

Kindly register in order to view this article
!

Projek bina sekolah perlahan, penduduk Saujana Utama hantar memorandum

Bilangan pelajar di SMK Saujana Utama kini mencecah lebih 3,000 orang.
A
A

SUNGAI BULOH - Sekolah kedua masih diperlukan bagi mengatasi isu kepadatan pelajar di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Saujana Utama, di sini.

Meskipun ada progres pembinaan di tapak sekolah baharu, namun gerak kerja didakwa terlalu perlahan.

Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) SMK Saujana Utama, Ahmad Fahmi Yahya Osman berkata, projek pembinaan sekolah itu perlu disegerakan.

“Ini kerana pelajar di SMK Saujana Utama kini mencecah 3,023 dan untuk tingkatan satu sahaja, hampir 1,000 membabitkan dua sesi.

“Satu kelas ada 45 pelajar, bagaimana nak belajar dengan selesa dan guru sukar beri tumpuan. Jumlah ideal untuk sekelas adalah 25 sehingga 30 pelajar saja,” katanya.

Katanya, bukan sahaja progres pembinaan sekolah menengah kedua perlu disegerakan tetapi juga penjawatan guru untuk sekolah baharu sepatutnya sudah ada.

Beliau turut bersimpati kerana pelajar sukar fokus di dalam kelas.

“Jika sekolah baharu cepat siap, masalah kepadatan murid ini insya-ALLAH boleh selesai,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi Majlis Permuafakatan Penduduk (MPP) Saujana Utama, Khairul Annuar Jalaluddin berkata, penduduk sudah menanti terlalu lama untuk sekolah menengah kedua.

Menurutnya, pertambahan sekolah membantu mengurangkan jumlah murid dalam satu kelas dan menghasilkan suasana pembelajaran yang lebih selesa.

“Bekas perdana menteri sebelum ini sudah umumkan perkara 2013 dan pastinya penduduk menantikan sekolah baru,” katanya.

Sebelum ini, memorandum Jawatankuasa Bertindak Pembinaan SMK dan SK Saujana Utama 2 dan MPP Saujana Utama turut diserahkan kepada pemimpin setempat bagi membangkitkan isu sama.

SMK Saujana Utama ketika ini satu-satunya sekolah menengah di Bandar Saujana Utama.

Katanya, keadaan sekolah sedia ada pun tidak mampu menampung kepadatan kerana pertambahan pelajar setiap tahun.

“Sampai bila penduduk kena tunggu? Cikgu pun dah lali dengan masalah ini dan pada masa sama, ada gangguan bekalan elektrik dan pelajar terpaksa berpanas.

“Mungkin sistem pendawaian sekolah belum sempurna nak tampung kelas yang banyak,” katanya.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus