[VIDEO] Jambatan sementara di Kampung Bemban dijangka siap Khamis ini

Kelihatan pasukan ATM menghantar bekalan makanan kepada penduduk. (Gambar kecil: Nurul Amylia, Sahat)
Kelihatan pasukan ATM menghantar bekalan makanan kepada penduduk. (Gambar kecil: Nurul Amylia, Sahat)
A
A
A

JELEBU - Tentera Darat Malaysia (TDM) menerusi Markas Rejimen Askar Jurutera Diraja 3 Divisyen diatur gerak bagi membina sebuah jambatan menggunakan jambatan Compact Bailey Single Lane (CB 200) di Sungai Triang, Kampung Bemban, di sini bagi menggantikan jambatan asal yang runtuh akibat banjir.

Panglima 3 Divisyen, Mejar Jeneral Datuk Tengku Muhammad Fauzi Tengku Ibrahim berkata, pemasangan jambatan ini merupakan usaha bagi memulihkan laluan perhubungan penduduk dan memberi manfaat kepada masyarakat di kawasan tersebut.

"Ia selaras dengan Teras Kementerian Pertahanan dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) serta Tonggak Ke-5 Perintah Ulung Panglima Tentera Darat iaitu meningkatkan kerjasama ATM dan Tentera Darat Malaysia bersama dengan agensi awam dan rakyat.

"Jambatan sepanjang 30 meter dengan kelebaran 4.2 meter boleh dilalui oleh kenderaan berat sehingga 30 tan ini dijangka siap seawalnya pada Khamis ini bergantung kepada keadaan cuaca," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas selesai mengadakan tinjauan hari pertama pembinaan jambatan sementara di kampung itu pada Selasa.

Hadir sama, Jurutera daerah Kuala Pilah, Ir. Nurhalim Aludin.

Ujarnya, usaha berkenaan dilakukan dengan kerjasama Jabatan Kerja Raya (JKR) yang kini sudah ditahap lima ke 10 peratus pemasangan pelantar jambatan sebelum disambungkan ke tebing di sebelah sana.

Tengku Muhammad Fauzi ( dua kanan) ketika membuat tinjauan di lokasi pada Selasa.
Tengku Muhammad Fauzi ( dua kanan) ketika membuat tinjauan di lokasi pada Selasa.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, lebih dari 130 penduduk di kampung itu boleh menarik nafas lega apabila jambatan yang menghubungkan kampung mereka dijangka siap pada Khamis.

Turut kelihatan di lokasi pada Selasa beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) menghantar barangan dapur kepada penduduk yang terjejas.

Penduduk, Nurul Amylia Mohd Rosbi, 33, berkata, aktiviti pekerjaan boleh dilaksanakan seperti biasa malahan tidak perlu melalui jalan alternatif yang agak jauh.

Sahat Haton, 70, turut berasa lega apabila pihak ATM, JKR juga semua pihak yang terlibat berusaha sedaya upaya membantu penduduk dalam memastikan kebajikan dan kemudahan sentiasa diberi keutamaan.