23 pegawai, anggota polis Pahang dibuang kerja

Ramli menyampaikan sijil penghargaan kepada 30 warga IPK Pahang pada perhimpunan bulanan bagi bulan Januari 2022 di IPK Pahang di sini pada Selasa.
Ramli menyampaikan sijil penghargaan kepada 30 warga IPK Pahang pada perhimpunan bulanan bagi bulan Januari 2022 di IPK Pahang di sini pada Selasa.
A
A
A

KUANTAN - Seramai 23 pegawai dan anggota polis Pahang dibuang kerja kerana melakukan pelbagai kesalahan dalam tempoh dua tahun sejak 2020.

Ketua Polis Pahang, Datuk Ramli Mohamed Yoosuf berkata, tindakan itu dibuat selepas mereka yang terlibat didapati bersalah oleh mahkamah atas pelbagai kesalahan seperti penagihan dadah dan kesalahan jenayah lain.

"Seramai 14 pegawai dan anggota direkodkan pada tahun lalu manakala tahun 2020 pula melibatkan sembilan orang. Kesalahan tertinggi yang kita kesan ialah jenayah narkotik, rasuah dan salah guna kuasa diikuti jenayah lain.

"Angka ini sangat membimbangkan kerana Polis Diraja Malaysia (PDRM) adalah badan penguatkuasaan undang-undang yang menjadi benteng kepada keselamatan dan ketenteraman masyarakat," katanya ketika ditemui pemberita selepas berakhirnya perhimpunan bulanan bagi Januari 2022 di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (iPK) Pahang pada Selasa.

Pada majlis itu, beliau turut menyampaikan sijil penghargaan kepada 30 warga IPK Pahang.

Beliau menjelaskan, semua peri laku melibatkan pelbagai jenayah akan memberi kesan kepada pasukan PDRM dan boleh mencemarkan nama baik institusi keselamatan.

"Saya tidak boleh terima apabila ada pegawai polis yang menagih dadah dan ini sesuatu yang sangat malang, penyalahgunaan dadah dalam kalangan polis sedangkan kita adalah institusi yang membanteras jenayah.

“Jadi, saya tidak mahu polis Pahang ada zombi, mereka ini bukan sahaja menyusahkan penyelia dan rakan sekerja tetapi keluarga dan masyarakat keseluruhannya. Kesan dadah telah kita ketahui amat buruk, risikonya bukan sahaja kepada diri malah kepada mereka yang terdekat,” ujarnya.

Artikel Berkaitan:

Ramli berkata, tindakan buang kerja itu diharap dapat dijadikan pengajaran dan peringatan kepada anggota serta pegawai lain yang sedang dalam perkhidmatan supaya tidak terlibat dengan kesalahan berkenaan.

Sebelum itu, beliau memaklumkan sebanyak 1,266 kertas siasatan pelbagai kesalahan jenayah komersial telah diselesaikan.

Katanya, bagi jenayah narkotik seramai 1,101 pembekal dan 2,687 pemilik dadah telah ditangkap pada tahun lalu.

Ramli menambah, beberapa sindiket melibatkan kes jenayah, komersial dan dadah berjaya ditumpaskan.

"Begitupun kita tidak boleh berpuas hati sebegitu sahaja, tahun ini kita akan giatkan lagi terutama dalam aspek pencegahan jenayah,” jelasnya.