11 pemain Tottenham tidak beraksi berdepan Leicester

Conte - Foto Inter.com
Conte - Foto Inter.com
A
A
A

PENGENDALI Tottenham Hotspur, Antonio Conte mengesahkan 11 pemain skuad The Lilywhites itu tidak akan beraksi ketika berdepan Leicester City di Stadium King Power pada Khamis.

Menurut Conte, kesemua pemain berkenaan bakal terlepas peluang beraksi pada perlawanan berkenaan kerana mengalami kecederaan selain dikesan positif Covid-19.

Justeru Conte berkata, situasi berkenaan sekali gus bakal menyaksikan pemain-pemain simpanan Spurs diberikan peluang untuk beraksi berdepan skuad The Foxes itu nanti.

“Seperti yang kita semua sedia maklum, ramai pemain kita yang mengalami kecederaan ketika ini.

“Malah dengan peningkatan kes-kes Covid-19 setiap hari, kita perlu membuat pemeriksaan bagi memastikan tahap kesihatan pemain-pemain kita berada pada tahap terbaik.

“Adakalanya, kita dapat keputusan mengejut pada pemeriksaan berkenaan, namun ketika ini kita hanya berikan fokus terhadap aksi berdepan Leicester (City),” katanya.

Untuk rekod, sebahagian besar pemain Tottenham Hotspur dilaporkan mengalami kecederaan termasuk dikesan positif Covid-19, baru-baru ini.

Mengulas lanjut, Conte berharap agar kesebelasan yang diturunkan nanti akan dapat memberikan aksi terbaik bagi memastikan keputusan yang positif buat pasukan.

Artikel Berkaitan:

Katanya, biarpun beraksi tanpa beberapa tonggak, namun pemain-pemain yang diturunkan dilihat mampu untuk menggalas tanggungjawab iaitu mencatatkan kejayaan.

“Biarpun kehilangan ramai pemain, namun saya tetap menaruh keyakinan dengan pemain yang bakal beraksi kelak mampu membantu pasukan melakar kejayaan yang diharap-harapkan,” katanya.