Satu penghormatan luar biasa: Cristiano Ronaldo

Ronaldo
Ronaldo
A
A
A

PENYERANG Portugal dan Manchester United, Cristiano Ronaldo menyifatkan satu penghormatan yang luar biasa untuk memenangi Anugerah Khas Terbaik Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA).

"Memenangi Anugerah Terbaik Khas FIFA merupakan satu penghormatan luar biasa dan satu keistimewaan yang besar.

“Hakikat bahawa institusi yang relevan memilih untuk mengiktiraf saya sebagai Penjaring Terbanyak dalam sejarah pertandingan FIFA, bagi saya adalah kemuncak pencapaian individu dalam mewakili negara tercinta.

"Sekarang ia terpulang kepada saya untuk menjadikan anugerah ini sebagai pembakar semangat tambahan dan motivasi untuk membantu mencapai semua matlamat di Manchester United musim ini, serta perlawanan 'play-off' Portugal pada Mac, supaya boleh berada di Piala Dunia Qatar 2022 dan kita semua boleh terus melakar kejayaan yang menakjubkan ini bersama-sama.

"Akhir sekali, ucapan istimewa kepada semua pemain hebat yang mewakili Portugal di sisi saya sepanjang dua dekad lalu dan semua pemain antarabangsa yang saya hadapi berkali-kali di seluruh dunia. Bakat, profesionalisme dan kualiti anda sentiasa menyumbang menjadikan saya pemain yang lebih baik," kata pemain berusia 36 tahun itu.

Ronaldo menerima anugerah itu sebagai pengiktirafan pemain lelaki dengan mendapat markah tertinggi dalam sejarah bola sepak antarabangsa.

Ronaldo sebelum ini memecahkan rekod bekas wira Iran, Ali Daei pada September apabila dia menjaringkan gol ke-110 untuk negaranya dan telah mencatatkan jumlahnya sehingga 115.

Sementara itu, pemenang Ballon d'Or lima kali itu akan berusia 37 tahun dalam pada 5 Februari depan berkata, dia percaya masih mampu beraksi sehingga berumur 40-an.

Artikel Berkaitan:

“Saya masih mempunyai semangat untuk permainan ini. Bukan hanya untuk menjaringkan gol. Ia untuk menghiburkan diri kerana saya telah bermain bola sepak sejak berumur lima, enam tahun.

"Walaupun di dalam latihan, setiap kali keluar padang, saya masih menikmatinya dan motivasi masih ada. Walaupun akan berusia 37 tahun tidak lama lagi, saya sangat teruja dan bermotivasi kerana bekerja keras sejak berumur 18 tahun dan masih terus melakukannya.

“Saya suka permainan itu. Saya masih mempunyai semangat dan ingin terus melakukannya. Kadang-kadang ada yang bertanya berapa tahun lagi saya akan bermain dan mengatakan saya berharap untuk bermain empat ke lima tahun lagi. Ini semua adalah mentaliti kita, jika kita melayan tubuh dengan baik, apabila kita memerlukan badan kita akan mengembalikannya," ujarnya.