UAE ancam bertindak balas selepas Houthi serang Abu Dhabi

Asap kelihatan disyaki akibat serangan dron di sebuah lapangan terbang antarabangsa Abu Dhabi pada Isnin. - Foto Al Bawaba News/Twitter
Asap kelihatan disyaki akibat serangan dron di sebuah lapangan terbang antarabangsa Abu Dhabi pada Isnin. - Foto Al Bawaba News/Twitter
A
A
A

ABU DHABI - Emiriah Arab Bersatu (UAE) mengancam akan melakukan tindakan balas terhadap pemberontak Houthi di Yemen selepas ia melakukan serangan dron yang disyaki menyebabkan tiga orang terkorban di Abu Dhabi pada Isnin.

"UAE berhak untuk bertindak balas terhadap serangan pengganas dan peningkatan jenayah yang kejam ini," kata satu kenyataan Kementerian Luar negara berkenaan yang dipetik oleh agensi berita rasmi WAM.

Pemberontak Houthi Yemen mendakwa serangan di Abu Dhabi menyebabkan tiga orang terkorban iaitu dua warga India dan seorang rakyat Pakistan pada Isnin selain memberi amaran kepada orang awam dan firma asing di UAE.

Mereka bekerja untuk syarikat minyak ADNOC dan terkorban apabila tiga tangki petrol meletup berhampiran tempat penyimpanan manakala kebakaran turut berlaku di kawasan pembinaan di sebuah lapangan terbang Abu Dhabi

UAE adalah sebahagian daripada tentera perikatan diketuai Arab Saudi yang menyokong kerajaan Yemen bagi menentang Houthi yang disokong oleh Iran.

Tentera perikatan itu melancarkan serangan balas terhadap ibu kota Yemen, Sanaa yang dikuasai pemberontak pada lewat Isnin.

Abdul Ilah Hajar iaitu Penasihat kepada Presiden Majlis Politik Tertinggi Houthi di Sanaa berkata, operasi ketenteraan di Abu Dhabi adalah satu amaran.

"Kami menghantar mesej amaran yang jelas kepada mereka dengan menyasarkan tempat yang tidak mempunyai kepentingan strategik yang besar," katanya kepada AFP.

Artikel Berkaitan:

Britain, Perancis dan negara-negara Teluk juga mengutuk sekeras-kerasnya serangan di UAE itu.

Dalam pada itu, Penasihat Keselamatan Negara merika Syarikat, Jake Sullivan berjanji bahawa Washington akan bekerjasama dengan UAE dan rakan kongsi antarabangsa yang lain bagi memastikan Houthi bertanggungjawab dalam serangan tersebut. - Agensi