Puas dapat hasil 500kg ikan air tawar sebulan

Rosnah menunjukkan ikan puyu siam yang diternak dan mempunyai saiz yang lebih besar berbanding ikan puyu tempatan.
Rosnah menunjukkan ikan puyu siam yang diternak dan mempunyai saiz yang lebih besar berbanding ikan puyu tempatan.
A
A
A

KUALA NERANG - Seorang penjawat awam wanita sanggup melepaskan jawatannya untuk menjadi seorang usahawan dengan menternak pelbagai spesies ikan air tawar di 13 kolam di Kampung Bukit Damar, Naka, dekat sini.

Rosnah Musa, 51, yang sebelum ini bekerja di bahagian pentadbiran sebuah agensi kerajaan mengakui puas terlibat dalam bidang baharu itu dan hasilnya semua kolam telah mampu mengeluarkan kira-kira 500 kilogram (kg) ikan segar air tawar sebulan.

Menurutnya, sebanyak 250kg ikan dijual kepada peraih yang telah menempah daripada pihaknya manakala selebihnya dijadikan sebagai pekasam dan kini telah dipasarkan di seluruh negara.

Rosnah memanfaatkan kawasan pertaniannya dengan menternak lembu di Kampung Bukit Damar, Naka, Padang Terap.
Rosnah memanfaatkan kawasan pertaniannya dengan menternak lembu di Kampung Bukit Damar, Naka, Padang Terap.

"Saya berasal daripada keluarga kampung. Selepas bekerja di dalam bilik berhawa dingin selama 28 tahun, timbul rasa mahu bekerja dalam suasana kampung dan sebab itu timbul impian untuk beralih ke bidang penternakan dan pertanian pula.

"Suami, Jafri Jusoh, 54, pada awal ragu-ragu dengan impian saya namun selepas saya mula menjinakkan diri dalam pertanian sejak 2015, dia akhirnya memberikan semangat.

"Selain ternak ikan air tawar, saya juga menternak lembu, rusa dan ayam hutan. Saya juga ada mengusahakan tanaman nanas dan pisang yang mana mampu menjana pendapatan kepada saya setiap bulan,” katanya semasa ditemui di kolam ikannya di Kampung Bukit Damar, Naka baru-baru ini.

Ibu kepada empat anak itu berkata, dia mengambil keputusan untuk bersara awal kerana mahu memberikan tumpuan kepada 25 hektar kawasan pertanian dan penternakan yang diusahakan sejak tujuh tahun lalu.

Artikel Berkaitan:

Jelasnya, ikan air tawar yang diternaknya lebih segar kerana menggunakan air bukit dan sumber bawah tanah yang dialirkan ke dalam setiap kolam dengan keluasan 16 meter lebar dan 40 meter panjang.

Penghasilan ikan pekasam yang diusahakan oleh Rosnah secara tidak langsung membuka ruang pekerjaan kepada penduduk kampung terutamanya suri rumah yang mahu menambah pendapatan keluarga.
Penghasilan ikan pekasam yang diusahakan oleh Rosnah secara tidak langsung membuka ruang pekerjaan kepada penduduk kampung terutamanya suri rumah yang mahu menambah pendapatan keluarga.

"Antara ikan air tawar yang diternak di dalam kolam ialah keli, patin, pacu, tilapia, lampam dan puyu siam. Ikan yang saya ternak tidak terlalu hanyir kerana air yang diisi di dalam kolam tersebut adalah sumber dari dalam tanah,” ujarnya yang banyak didedahkan dengan kehidupan kampung oleh Allahyarham bapanya, Musa Awang Kechik..

Rosnah berkata, dia dibantu seramai 12 pekerja bagi menguruskan pertanian dan penternakannya termasuk tanaman getah yang diusahakan di kawasan pertaniannya.

"Lembu yang diternak juga kini telah bertambah kepada 80 ekor berbanding 12 ekor pada awalnya. Saya juga membela 15 ekor rusa dan disebabkan permintaan tinggi terhadap daging lembu dan rusa, saya bercadang untuk menambah bilangan lagi pada masa hadapan.

"Saya tidak mempunyai masalah dengan makanan binatang ternakan kerana kawasan pertanian ini dipenuhi dengan rumput hijau sekali gus menjimatkan kos seperti makanan palet haiwan tersebut," katanya.

Tambahnya, bidang pertanian yang diceburinya itu turut berjaya membuka ruang pekerjaan kepada penduduk kampung terutamanya dalam menghasilkan ikan pekasam dan juga kerepek.

Rosnah menunjukkan beberapa ikan patin yang dijala sebelum dibersihkan dan diagihkan kepada peraih ataupun dijadikan sebagai ikan pekasam di Kampung Bukit Damar, Naka, Padang Terap.
Rosnah menunjukkan beberapa ikan patin yang dijala sebelum dibersihkan dan diagihkan kepada peraih ataupun dijadikan sebagai ikan pekasam di Kampung Bukit Damar, Naka, Padang Terap.