Isu Azam Baki: Empat ahli jawatankuasa bantah tunda mesyuarat PSC

Laporan Sinar Harian pada Isnin.
Laporan Sinar Harian pada Isnin.
A
A
A

SHAH ALAM – Empat ahli Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen (PSC) bagi Agensi-agensi di bawah Jabatan Perdana Menteri (JPM) membantah keputusan Pengerusinya, Abdul Latiff Abdul Rahman untuk menunda mesyuarat PSC yang dijadualkan pada Rabu ini.

Ahli-ahli PSC tersebut adalah Ahli Parlimen Sepanggar, Datuk Mohd Aziz Jamman; Ahli Parlimen Kota Kinabalu, Chan Foong Hin; Ahli Parlimen Kota Melaka, Khoo Poay Tiong dan Ahli Parlimen Selayang, William Leong Jee Keen.

Mereka turut tidak bersetuju dengan alasan yang diberikan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki yang mengemukakan bantahan agar beliau hadir dalam mesyuarat tersebut.

Tegas mereka, Azam seharusnya menghadiri mesyuarat PSC bagi mengemukakan isu-isu yang dibangkitkannya, bukannya meremehkan surat panggilan pihak Parlimen.

“Perkara-perkara yang lain seperti terma rujukan, senarai saksi-saksi yang lain boleh dibincangkan dan ditetapkan,” kata mereka dalam satu kenyataan bersama pada Isnin.

Mesyuarat Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen (PSC) bagi Agensi-agensi di bawah Jabatan Perdana Menteri yang dijadualkan pada Rabu ini dilapor ditangguhkan selepas Azam mengemukakan bantahan.

Azam membantah cadangan agenda yang ditetapkan mesyuarat itu yang mahu beliau hadir untuk mendapatkan penjelasan mengenai skandal pemilikan pegangan saham.

Empat ahli Parlimen itu menambah, bidang kuasa PSC adalah bagi menentukan sama ada terdapat mekanisme yang efektif bagi menjalankan siasatan dan tindakan disiplin bagi perkara yang berlaku.

Artikel Berkaitan:

“Bidang kuasa PSC adalah untuk mengenal pasti sumber-sumber kuasa yang sedia ada dan sama ada ianya mencukupi.

“Selain itu, kuasa-kuasa Parlimen untuk memanggil mana-mana saksi untuk memberikan keterangan adalah selaras dengan Houses of Parliament (Privileges and Powers) Act 1952 dan Azam adalah jelas menghina Parlimen (in contempt of parliament) apabila mentah-mentah meremehkan panggilan Parlimen,” tegas mereka.

Susulan perkara ini juga, mereka turut mencadangkan agar PSC segera menetapkan tarikh baharu bagi mesyuarat PSC Agensi JPM.