Pencemaran gas metana dan subjek Geografi

Isu pencemaran gas metana di Sungai Kim Kim, Pasir Gudang memberi suatu gambaran bahawa kesedaran pemeliharaan alam sekitar bagi semua pihak adalah penting. - FotoBernama
Isu pencemaran gas metana di Sungai Kim Kim, Pasir Gudang memberi suatu gambaran bahawa kesedaran pemeliharaan alam sekitar bagi semua pihak adalah penting. - FotoBernama
A
A
A

SEBELUM ini negara kita dikejutkan sebagai penyimpan sampah dari negara-negara lain di dunia. Ini dikaitkan dengan adanya kilang-kilang yang mengimport sampah dari beberapa negara lain dan masalah kitar semula plastik.

Pembuangan bahan kimia di Sungai Kim Kim membawa kepada pencemaran udara sehinggakan memberi kesan terhadap kesihatan pelajar yang serius membabitkan sekolah tadika, sekolah rendah dan menengah. Ini menjadikan satu pengalaman bermakna berhadapan trauma masalah pencemaran yang tidak diambil berat oleh manusia yang inginkan keuntungan tanpa memikirkan alam sekitar.

Perkara ini harus diambil perhatian serius oleh Jabatan Alam Sekitar untuk masa akan datang kepada semua industri kimia yang terdedah dengan risiko pencemaran udara terhadap manusia.

Pengurusan persekitaran yang melibatkan kawasan industri kimia yang boleh terdedah kepada risiko pencemaran udara haruslah mempunyai Sistem Pengurusan Persekitaran Industri yang bersepadu atau Integrated Environmental Management yang mengambil kira aliran proses industri sehingga menguruskan bahan tercemar dan persekitaran yang melibatkan penduduk sekitar.

Di negara Eropah, pengurusan persekitaran melibatkan kawasan industri dipandang berat dalam memastikan kesejahteraan masyarakat sekitarnya.

Justeru, kajian semula pengurusan persekitaran kawasan industri yang terdedah kepada pencemaran udara dan boleh menggugat kesihatan penduduk berdekatan haruslah diteliti semula. Contohnya, industri simen yang boleh mendedahkan penduduk dengan simptom masalah kesihatan selain pencemaran kimia.

Ia adalah pembunuh senyap yang boleh mengancam kesihatan manusia pada masa akan datang. Penulis sekarang, dalam kajian meneliti maklum balas penduduk terhadap simptom masalah pernafasan kesan industri simen pada masa kini.

Kes pencemaran udara yang memberi kesan nyata terhadap manusia di Pasir Gudang memberi suatu gambaran bahawa kesedaran pemeliharaan alam sekitar bagi semua pihak adalah penting.

Artikel Berkaitan:

Suatu modul latihan pengurusan persekitaran bagi industri yang ada potensi berlaku bencana pencemaran dari industri harus difikirkan dan dilaksanakan kepada semua pekerja dari peringkat pentadbiran hinggalah peringkat bawahan, tidak terkecuali pekerja asing. Satu sistem audit haruslah dilaksanakan oleh pihak bertanggungjawab dalam memantau kepatuhan sistem tersebut.

Sekolah-sekolah yang berdekatan kawasan industri di seluruh negara haruslah dikenal pasti agar mempunyai tindakan SOP Fast Response bagi menghadapi sebarang bencana industri. Diharapkan pihak kerajaan dan industri dapat duduk semeja bagi meneliti hal ini bersama pakar akademik dalam mewujudkan persekitaran yang sejahtera.

Sesungguhnya pengalaman pencemaran gas metana memberi suatu petunjuk bermakna, bahawa lokasi industri di Malaysia perlu dilihat semula terutamanya kawasan industri lama yang dahulunya tiada penduduk sekitar, namun kini dikelilingi penduduk yang boleh terdedah kepada ancaman bencana pencemaran industri.

Mereka yang bersalah melakukan pembuangan sisa kimia sehingga menyebabkan pencemaran gas metana di Pasir Gudang perlu diadili seadilnya. Mangsa trauma pencemaran metana harus terus didekati dalam membantu menyejahterakan komuniti.

Penulis selaku Penyelaras ResQ UPSI Team, Pusat Transformasi Komuniti Universiti Pendidikan Sultan Idris (UCTC), UPSI melalui Outreach Trauma Pasir Gudang, ResQ TEAM UPSI yang dianggotai kumpulan pakar kaunseling dan trauma akan membantu mangsa trauma pencemaran metana di Pasir Gudang.

Namun, dalam membantu, generasi Malaysia semua peringkat harus merenung sejenak betapa subjek Geografi begitu penting membawa kita memahami alam sekitar di Malaysia. Subjek ini masih relevan di sekolah bagi generasi kini dan akan datang dalam memahami alam sekitar serta kepentingan penjagaannya.

*Prof Madya Dr Mohd Hairy Ibrahim, Pakar Pengurusan Persekitaran yang juga Pensyarah Jabatan Geografi dan Alam Sekitar, Fakulti Sains Kemanusia, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI)