X

Kindly register in order to view this article
!

Ahad | 26 Jun 2022

Waspada sindiket tipu 'Fly by Night' menjelang musim perayaan

Polis
A
A

KUALA LUMPUR - Polis menasihatkan orang ramai terutama peniaga supaya berwaspada dengan sindiket penipuan 'Fly by Night' yang semakin aktif menjelang musim perayaan Tahun Baharu Cina.

Ini susulan pihaknya menumpaskan sindiket berkenaan dengan penahanan tiga lelaki pada Jumaat dan Sabtu lepas di dua lokasi sekitar Lembah Klang.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Mohd Mahidisham Ishak berkata, tangkapan dilakukan selepas pihaknya menerima laporan daripada seorang pekerja syarikat minuman keras di Jalan Klang Lama di sini, Khamis lepas.

"Suspek utama dalam kes ini iaitu lelaki berusia awal 40-an telah membuat tempahan 56 botol minuman keras berjumlah RM79,604 dan mengemukakan resit pembayaran palsu kepada mangsa.

"Mangsa menyedari wang itu tidak dimasukkan ke dalam akaun syarikat selepas penghantaran dibuat lalu membuat laporan polis," katanya ketika sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur di sini pada Isnin.

Susulan tangkapan itu, pihaknya merampas 39 botol minuman keras pelbagai jenama bernilai kira-kira RM52,000.

Beliau berkata, semakan mendapati suspek menyasarkan minuman keras jenis koleksi dan edisi terhad dengan harga boleh mencecah RM500 hingga RM15,000.

Menurutnya, siasatan mendapati suspek akan menjual minuman keras berkenaan menerusi laman sosial atau untuk kegunaan sendiri.

Mohd Mahidisham berkata, dua lagi suspek lelaki berusia 20 hingga 40 tahun yang berperanan sebagai pembeli dan penghantar kurier dibebaskan dengan jaminan polis sehingga kertas siasatan dihantar ke Timbalan Pendakwa Raya untuk tindakan selanjutnya.

"Suspek utama yang mempunyai empat rekod jenayah lampau membabitkan kes penipuan direman hingga Rabu ini untuk siasatan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

"Dalam persediaan menghadapi musim perayaan ini, peniaga dan pembeli perlu lebih berwaspada serta membuat semakan terlebih dahulu sebelum membuat transaksi bagi mengelak daripada menjadi mangsa penipuan," katanya. - Bernama


Jangan lupa follow kami di Instagram, Telegram dan TikTok
Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!