X

Kindly register in order to view this article
!

Sabtu | 21 Mei 2022

RFID: PLUS perlu cari penyelesaian isu kesesakan di plaza tol

Fadillah berdiri di atas Jambatan Dengkil yang telah dibaik pulih sepenuhnya setelah runtuh akibat hakisan arus deras Sungai Langat semasa banjir di Dengkil. - Foto Bernama
A
A

DENGKIL - Menteri Kanan Kerja Raya, Datuk Seri Fadillah Yusof mengarahkan PLUS Malaysia Bhd (PLUS), mencari penyelesaian berhubung isu kesesakan yang dilaporkan berlaku di plaza tol berikutan pelaksanaan sistem teknologi Identifikasi Frekuensi Radio (RFID).

Menurutnya, RFID itu sedang dilaksanakan secara rintis oleh syarikat konsesi PLUS dan ia dibekalkan oleh syarikat Touch 'n Go Sdn Bhd (TnG).

"Saya telah hubungi mereka (PLUS dan TnG) selepas mendapat aduan dan meminta mereka jelaskan kepada orang ramai serta cari penyelesaian... penyelesaian kepada segala isu berbangkit kepada pelaksanaan (RFID) ini.

"Apabila ia projek rintis, ada beberapa perkara akan lalui dan perlu selesaikan,” katanya ketika ditemui media selepas meninjau pembukaan Jambatan Dengkil di FT31 (Jalan Banting-Semenyih) Seksyen 20.80 di sini pada Isnin.

Media dalam talian dan warganet melaporkan keadaan trafik di beberapa plaza tol seperti di Bandar Seri Putra, Bangi dan Sungai Besi dikatakan sesak, didakwa berpunca daripada penggunaan RFID.

Pada 16 Disember 2021, Kementerian Kerja Raya (KKR) berkata, transaksi tol menggunakan teknologi RFID untuk kenderaan ringan persendirian (Kelas 1) dilaksanakan di laluan Juru, Pulau Pinang hingga ke Skudai, Johor di Lebuhraya Utara-Selatan bermula 15 Januari 2022.

Sistem RFID membolehkan pengguna lebuh raya menikmati perjalanan lebih lancar tanpa perlu berhenti di lorong RFID dengan kelajuan 30 km/j serta membolehkan pengguna melaksanakan transaksi tol tanpa sentuh.

RFID juga menawarkan sekuriti tunai digital dan tambah nilai tanpa tunai melalui penggunaan Touch ‘n Go eWallet, tanpa perlu lagi mengunjungi kaunter tambah nilai,

Fadillah berkata, pelaksanaan RFID itu adalah projek rintis iaitu dengan bilangan tol terhad dipasang teknologi RFID, manakala lorong kad TnG dan SmartTAG masih lagi dikekalkan.

"Kita belum wajibkan untuk gunakan RFID dan ia terserah kepada orang ramai untuk gunakan,” katanya.

Beliau memberi jaminan bahawa KKR akan sentiasa memantau perkara tersebut dan mengambil serius aduan, supaya ia tidak menyusahkan pengguna sebaliknya kemudahan. - Bernama


Jangan lupa follow kami di Instagram, Telegram dan TikTok
Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!