KPWKM teliti bantuan geran khas kepada pusat autisme

Siti Zailah beramah mesra sambil melayani gelagat anak-anak serta pelajar pada sesi lawatannya ke Pusat Autism Labuan (LACC) pada Isnin. - Foto Bernama
Siti Zailah beramah mesra sambil melayani gelagat anak-anak serta pelajar pada sesi lawatannya ke Pusat Autism Labuan (LACC) pada Isnin. - Foto Bernama
A
A
A

LABUAN - Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) akan meneliti jenis bantuan dan geran yang boleh disalurkan kepada pusat autisme kendalian badan bukan kerajaan (NGO) atau sektor swasta.

Timbalan Menterinya, Datuk Siti Zailah Mohd Yusoff berkata, setakat ini tiada geran khas diberikan, namun ia boleh dibincangkan di peringkat kementeriannya untuk pertimbangan.

"Perkara ini saya akan teliti dahulu, buat masa ini... kami menggalakkan NGO untuk turut sama menubuhkan banyak lagi pusat autisme bagi membantu anak-anak yang didiagnosiskan sebagai kanak-kanak autistik,” katanya kepada pemberita selepas melawat Pusat Autisme Labuan di sini pada Isnin.

Katanya, kementeriannya hanya memberikan bantuan geran kepada 562 pusat Pemulihan Dalam Komuniti (PDK) melalui Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) negeri.

"Geran khas disalurkan kepada semua PDK dengan kesemua kakitangan diberikan elaun bulanan,” katanya.

Dalam pada itu, Siti Zailah berkata, kementeriannya meneruskan bantuan Pertubuhan Sukarela Kebajikan (PSK) yang memberikan perkhidmatan penjagaan, perlindungan dan pemulihan kepada kumpulan sasar JKM iaitu warga emas, orang kurang upaya (OKU) dan kanak-kanak.

"Tujuan pemberian bantuan ini adalah untuk menampung sebahagian kos yang ditanggung oleh PSK dalam menyediakan perkhidmatan kepada kumpulan sasar JKM.

"Bantuan ini adalah berbentuk geran rangsum (makan minum), geran pentadbiran, elaun khas murid OKU, geran perkapita dan geran pembaikan," katanya.

Beliau berkata, geran pentadbiran juga diberikan bagi menampung kos pentadbiran PSK kebangsaan dan negeri seperti sewaan premis, utiliti dan sagu hati sukarelawan/PSK OKU.

Katanya, geran-geran ini disalurkan pada tahun 2021 yang melibatkan peruntukan berjumlah RM19,235,008.15.

Artikel Berkaitan:

Siti Zailah berada di Labuan untuk lawatan kerja sehari. - Bernama