Rais sahkan bertemu Azam baru-baru ini tukar pandangan

Rais ketika sidang media selepas Majlis Sepetang bersama Tan Sri Dr Rais Yatim di Kuala Lumpur pada Isnin.
Rais ketika sidang media selepas Majlis Sepetang bersama Tan Sri Dr Rais Yatim di Kuala Lumpur pada Isnin.
A
A
A
KUALA LUMPUR - Yang Dipertua Dewan Negara, Tan Sri Dr Rais Yatim mengesahkan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki ada berjumpa dengan beliau baru-baru ini bagi bertukar pandangan.

Walau bagaimanapun, isi perbincangan dan tarikh perjumpaan tersebut tidak didedahkan.

“Beliau (Azam) sudah menemui saya untuk bertukar-tukar pandangan dan nasihat sudah pun diberi.

“Itu (isi perbincangan) saya tidak boleh katakan, mana boleh,” katanya dalam sidang akhbar selepas Majlis Sepetang bersama Tan Sri Dr Rais Yatim di sini pada Isnin.

Pada 13 Januari, Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen (PSC) bagi Agensi-Agensi Bawah Jabatan Perdana Menteri (JPM) sudah meminta Azam hadir ke mesyuarat jawatankuasa itu, Rabu depan.

Walau bagaimanapun, pada Isnin, Mesyuarat Khas Parlimen bagi membincangkan dakwaan pemilikan saham Azam yang dijadualkan pada 19 Januari telah ditangguhkan.

Menerusi surat yang dikeluarkan Setiausaha Dewan Rakyat, Nizam Mydin Bacha Mydin, mesyuarat berkenaan ditangguhkan ke satu tarikh yang akan dimaklumkan kemudian atas sebab terdapat beberapa isu perundangan yang tidak dijelaskan lanjut.

Dalam pada itu, Rais berkata, jawatankuasa di bawah Dewan Negara sudah membuat keputusan untuk menyiasat perkara ini dari sudut keperihalan SPRM itu sendiri untuk masa hadapan.

“Kita tidak mahu rakyat mencurigai SPRM sebab itu badan yang sangat-sangat diharapkan untuk menjelmakan nilai-nilai anti rasuah yang kuat.
Artikel Berkaitan:


“Kami di Parlimen khasnya di Dewan Negara akan memainkan peranan supaya penjelmaan itu terus berlaku dan kami akan memanggil sesiapa sahaja difikir perlu bagi menegakkan kebenaran budaya benci rasuah,” ujarnya.