X

Kindly register in order to view this article
!

Ahad | 22 Mei 2022

RM187.87 juta untuk pembaikan jalan raya, cerun terjejas banjir

Fadillah Yusof
A
A

DENGKIL - Kementerian Kerja Raya (KKR) menyediakan peruntukan segera berjumlah RM187.87 juta bagi kerja-kerja pembaikan kritikal di 303 lokasi jalan raya dan cerun yang terjejas akibat banjir, kata Menteri Kanan Kerja Raya, Datuk Seri Fadillah Yusof.

Beliau berkata, daripada jumlah itu, sebanyak RM133 juta diperuntukkan untuk pembaikan cerun di 181 lokasi dikenal pasti, manakala bakinya bagi membaik pulih jalan raya.

"Kerja-kerja pembaikan kritikal telah dimulakan. Kita mahu sekurang-kurangnya jalan terjejas boleh dibuka untuk satu lorong dan mestilah boleh dilalui.

"Itu sasaran peringkat awal hingga kita dapat peruntukan sepenuhnya dan bakinya boleh disiapkan,” katanya ketika ditemui media selepas meninjau pembukaan Jambatan Dengkil di FT31 (Jalan Banting-Semenyih) Seksyen 20.80 di sini pada Isnin.

Dalam pada itu, Fadillah berkata, kira-kira 80 peratus atau 943 daripada 994 lokasi jalan raya terkesan banjir di seluruh negara telah dibersihkan dan bakinya kini dalam tindakan Jabatan Kerja Raya negeri masing-masing.

"Kerja baik pulih akan terus digiatkan dalam usaha pemulihan infra pasca banjir KKR,” katanya.

Mengenai proses pembaikan Jambatan Dengkil, Fadillah berkata, sebanyak RM800,000 diperuntukkan untuk membaiki jambatan yang ditutup sejak 17 Disember ekoran hakisan dan runtuh akibat banjir.

Menurutnya, proses pembaikan jambatan itu berjaya disiapkan lebih awal oleh Roadcare (M) Sdn Bhd berbanding sasaran asal iaitu siap pada akhir bulan ini.

"Alhamdulillah, pembaikan jambatan telah dapat disiapkan awal dan ia kini dibuka untuk laluan orang ramai,” katanya. - Bernama


Jangan lupa follow kami di Instagram, Telegram dan TikTok
Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!