X

Kindly register in order to view this article
!

Ahad | 22 Mei 2022

Mindef fokus lapan teras hala tuju bawah PT22: Hishammuddin

Menteri Kanan Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein (dua, kiri) menyerahkan sumbangan kid ujian kendiri Covid-19 kepada Pengetua SMK Desa Tun Hussein Onn, Noraizah Shaharuddin (dua, kanan) pada Majlis Amanat Tahun 2022 Menteri Kanan Pertahanan di Wisma Perwira Angkatan Tentera Malaysia hari ini. - Foto Bernama
A
A

KUALA LUMPUR - Kementerian Pertahanan (Mindef) akan memberi fokus kepada lapan teras di bawah Pelan Tindakan 2022 (PT22).

Lapan teras berkenaan adalah kebajikan, kesiapsiagaan dan keupayaan Angkatan Tentera Malaysia (ATM), kerjasama pertahanan antarabangsa, pemerkasaan Veteran ATM, kompetensi pertahanan, kerjasama awam-tentera, industri pertahanan nasional dan kesiapsiagaan terhadap krisis berskala besar.

Menteri Kanan Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata kesemua teras PT22 berkenaan, telah dimuktamadkan bagi perancangan tahun ini.

Beliau berkata PT22 merupakan hasil buah fikiran, cadangan, pandangan, Ketua Setiausaha Mindef Datuk Seri Muez Abd Aziz, Panglima ATM Jen Tan Sri Affendi Buang serta warga Mindef dan ATM.

"Amat penting untuk setiap dasar ini dipakejkan bersama untuk mempunyai perancangan, hala tuju dan matlamat yang selari, seterusnya menentukan lapan teras di bawah PT22,” katanya semasa berucap dalam Amanat Menteri Kanan Pertahanan 2022 di Wisma Perwira ATM di sini.

Sementara itu, Hishammuddin berkata Mindef akan memperkukuhkan perolehan aset baharu bagi ketiga-tiga cabang perkhidmatan ATM, di bawah teras PT22.

Menurutnya Tentera Darat Malaysia (TDM) bakal menerima tujuh unit Kereta Kebal Pendekar berserta 31 unit Kenderaan Perisai 8X8 Gempita pada bulan ini, bagi memperkukuhkan keupayaan TDM.

"Bagi Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) pula, Kapal Misi Pesisir (LMS) RENCONG yang merupakan LMS keempat negara bakal ditauliahkan pada 28 Jan ini, tiga helikopter Operasi Maritim AW 139 akan diperoleh pada Mac, serta TLDM telah memulakan perancangan untuk memperoleh lapan buah LMS baharu melalui kumpulan kedua,” katanya.

Selain itu, Tentera Udara Diraja Malaysia pula akan meningkatkan keupayaan Pesawat Pengawasan Maritim iaitu tiga pesawat CN235-200, meningkatkan keupayaan pesawat F/A18D melalui program ‘Service Life Extension’ dan meningkatkan keupayaan pesawat Airbus A400M melalui pendekatan ‘Retro fit New SOC 2.5’.

Hishammuddin juga memaklumkan kerajaan sedang meneliti projek-projek yang tergendala di bawah Mindef seperti perolehan ‘Littoral Combat Ship’ (LCS) dan perolehan Helikopter MD530G bagi kegunaan Pasukan Udara TDM.

"Perancangan ke hadapan adalah menyediakan opsyen Pelan Pemulihan Projek LCS, mengadakan perbincangan bersama Kementerian Kewangan dan perbentangan Pelan Pemulihan di dalam Mesyuarat Jemaah Menteri,” katanya.

Hishammuddin berkata beliau bersama KSU Mindef juga akan berjumpa Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara tidak lama lagi, bagi menjelaskan secara terperinci perancangan LCS dan turut memberi jaminan bahawa tiada apa yang akan disembunyikan.

Selain itu, Hishammuddin berkata Mindef dan ATM sedang berusaha untuk mendapatkan Elaun Kenangan Pingat Jasa Malaysia, bagi memperkasa veteran ATM.

"Mereka ini golongan yang berjasa besar kepada negara dan ada antara mereka yang terlibat dengan pertempuran sebenar sehingga terkorban atau mendapat kecacatan kekal.

"Saya sedar, ia tidak akan dapat ditukar ganti dengan apa jua balasan setimpal. Selagi saya Menteri Pertahanan, kesejahteraan veteran ATM akan terus menjadi antara matlamat utama saya,” katanya. - Bernama


Jangan lupa follow kami di Instagram, Telegram dan TikTok
Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!