Maritim rampas 2.3 tan metrik daun ketum, tahan dua ‘keldai'

Maritim Malaysia
Maritim Malaysia
A
A
A

KUALA PERLIS - Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Maritim Kuala Perlis menggagalkan cubaan menyeludup keluar 2.3 tan metrik daun ketum dan menahan dua lelaki dipercayai ‘keldai ketum’ di perairan Kuala Perlis pada Sabtu lepas.

Pengarah Maritim Negeri Kedah dan Perlis Laksamana Pertama Maritim, Mohd Zawawi Abdullah berkata, anggota Maritim menahan sebuah bot gentian tanpa nombor pendaftaran yang membawa muatan daun ketum terbabit di kedudukan 1.5 batu nautika barat pantai Sungai Padang pada kira-kira jam 7.55 pagi.

"Sebaik menyedari kehadiran anggota Maritim, kedua-dua lelaki berusia 25 dan 40 tahun itu bertindak menukar haluan sebelum terjun ke laut dan melarikan diri ke darat namun berjaya ditahan,” katanya kepada pemberita di sini pada Isnin.

Beliau berkata, pemeriksaan pada petak simpanan bot berkenaan menemukan 230 bungkusan plastik hitam berisi daun ketum dianggarkan bernilai RM414,000.

Katanya, selain daun ketum, anggota Maritim turut menemukan beg kecil berwarna hitam mengandungi dua peket kecil plastik lut sinar disyaki berisi 100 biji pil kuda dianggarkan bernilai RM2,500.

"Turut ditemukan, dua peket kecil plastik lut sinar disyaki berisi syabu seberat 1.72 gram dianggarkan bernilai RM688 dan tiga peket kecil plastik lut sinar disyaki heroin seberat 1.47 gram dianggarkan bernilai RM117.60 di bahagian kemudi bot,” katanya.

Mohd Zawawi tidak menolak kemungkinan penyeludupan itu didalangi sindiket tempatan yang menggunakan perkhidmatan ‘keldai ketum’ untuk membawa keluar daun ketum ke negara jiran.

Beliau berkata, keseluruhan barangan rampasan termasuk daun ketum, dadah, bot gentian serta enjin sangkut dianggarkan bernilai RM537,305.60 dan merupakan rampasan terbesar setakat tahun ini.

Artikel Berkaitan:

Katanya, kes penyeludupan daun ketum akan disiasat mengikut Seksyen 30(3) Akta Racun 1952, kes dadah mengikut Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 manakala mengendalikan bot tanpa lesen sah mengikut Seksyen 8(a) Akta Perikanan 1985. - Bernama