Rais Yatim terima Ijazah Kehormat Kedoktoran Seni Kreatif

Rais (dua dari kanan) terima Ijazah Kehormat Kedoktoran Seni Kreatif pada Isnin.
Rais (dua dari kanan) terima Ijazah Kehormat Kedoktoran Seni Kreatif pada Isnin.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Yang Dipertua Dewan Negara, Tan Sri Dr Rais Yatim menerima Ijazah Kehormat Kedoktoran Seni Kreatif (Perancang Seni Budaya) di Dewan Orkestra Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (Aswara) pada Isnin.

Rektor Aswara, Profesor Ts Dr Ruslan Abdul Rahim berkata, ijazah tersebut sebagai tanda penghargaan jasa dan kebaktian beliau kepada negara.

“Jasa beliau dalam seni budaya tanah air amatlah besar bukan sahaja ketika menjadi menteri yang menguruskan hal ehwal kebudayaan, malah sebagai individu yang sangat mengambil berat perancangan dan perkembangan seni budaya.

“Selama lebih 50 tahun beliau telah mencorakkan bidang seni, budaya dan warisan negara kita kepada generasi anak-anak muda,” katanya pada Majlis Sepetang bersama Tan Sri Dr Rais Yatim pada Isnin.

Ijazah Kehormat Kedoktoran Seni Kreatif (Perancang Seni Budaya) itu disampaikan oleh Ruslan.

Mengulas lanjut, Ruslan berkata, Rais telah memperjuangkan hal-hal sosial dan kebudayaan Melayu, melestarikan seni, warisan, adat dan bahasa.

“Justeru amat tepat Aswara menghargai peranan dan jasa berhormat Tan Sri kerana jasa beliau sebagai perancang seni kreatif.

“Aswara amat beruntung dapat mengenali dan bergerak maju bersama beliau yang tanpa jemu membantu Aswara unggul di persada seni budaya dan warisan.

“Semoga kerjasama dan jalinan hubungan ini akan terus erat dan saya juga mengharapkan sokongan daripada beliau untuk membantu Aswara terus cemerlang,” ujarnya.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Rais berkata, industri seni kreatif seharusnya menjadi satu-satunya bidang yang harus dilonjakan segera.

“Ini kerana semua negara maju yang besar tidak melupakan industri seni dan dengan cara menggelombangkan semula arena seni kreatif.

“Maka negara itu sendiri akan muncul sebagai bertamadun tinggi dan juga mempunyai ihsan masa hadapan yang membangunkan masyarakat dengan nilai-nilai murni,” ujarnya.

Mengulas lanjut, beliau berkata, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) seharusnya tidak melupakan subjek seni untuk menjadi satu percambahan budaya yang tinggi.

“Ini jarang orang bercakap, naiknya school of culture di New York kerana mereka tahu nilai budaya itu penting.

“Justeru, kita ingin melonjakkan nilai itu menerusi seni dan budaya di KPM seperti di sekolah seni di Johor dan Selangor,” jelasnya.