Pas perkukuh jalinan kerjasama dengan PN

Siti Zailah menyempurnakan Majlis Penyerahan Baucer Saringan Mamogram dan Ujian Hpv Dna (Weare) kepada salah seorang wakil NGO sempena Sambutan Bulan Kesedaran Kanser Serviks 2022 di Desa Tunas Hijau pada Isnin. -Foto Bernama
Siti Zailah menyempurnakan Majlis Penyerahan Baucer Saringan Mamogram dan Ujian Hpv Dna (Weare) kepada salah seorang wakil NGO sempena Sambutan Bulan Kesedaran Kanser Serviks 2022 di Desa Tunas Hijau pada Isnin. -Foto Bernama
A
A
A

LABUAN - [DIKEMAS KINI] Pas akan terus memperkukuh jalinan kerjasama bersama Perikatan Nasional (PN), kata Ahli Jawatankuasa Pas Pusat, Datuk Siti Zailah Mohd Yusoff.

"Kita sentiasa bekerjasama dalam pelbagai program turun padang, seperti semalam saya berada di Kota Marudu dan Pitas, Sabah bersama Srikandi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan pemimpin wanita lain dalam PN untuk menyantuni penduduk setempat di sana.

"Sebagai negara demokrasi, inilah masanya kita meletakkan kepentingan rakyat dalam agenda perkhidmatan kita,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Penyerahan Baucar Saringan Mamogram dan Ujian HPV DNA (WcaRe) sempena Sambutan Bulan Kesedaran Kanser Serviks 2022 di Desa Tunas Hijau pada Isnin.

Beliau berkata, senario politik negara kini tidak akan menjejaskan jalinan kerjasama dengan Bersatu khususnya dalam kalangan sayap wanita Pas dan PN kerana ia terus berjalan serta diperkukuh.

Sebelum ini, Ahli Jawatankuasa Pas pusat, Nasrudin Hassan berkata, kedudukan dan hala tuju Pas bersama PN sudah dimuktamadkan namun parti itu berhasrat melebarkan lagi kerjasama dengan parti lain bagi memperkukuh kedudukan politik umat Islam di negara ini.

"Kedudukan Pas dengan PN adalah sesuatu yang sudah dimuktamadkan iaitu Pas adalah gabungan dalam PN. Jadi, tidak berbangkit soal untuk merombak kedudukan Pas dalam PN,” katanya. - Bernama

Artikel Berkaitan: