Lei Choo dilantik pengarah bebas bukan eksekutif LBS

Yong Lei Choo
Yong Lei Choo
A
A
A

SHAH ALAM - Pemaju perbandaran terkemuka antarabangsa, LBS Bina Group Berhad (LBS) mengumumkan pelantikan Datuk Yong Lei Choo sebagai pengarah bebas bukan eksekutif baharu dan Ahli Jawatankuasa Imbuhan dan Jawatankuasa Pengurusan Risiko LBS berkuat kuasa pada14 Januari.

Pengerusi Eksekutif LBS, Tan Sri Lim Hock San berkata, Lei Choo akan menggantikan Datuk Lim Tong Lee yang akan bersara sebagai Ahli Lembaga Pengarah LBS.

Menurutnya, dengan pelantikan tersebut, kumpulan itu akan mempunyai dua pengarah wanita dalam ahli lembaga pengarahnya sekali gus menyumbang kepada 25 peratus komposisi wanita.

“Penambahan komposisi wanita ini bakal menyumbang kepada peningkatan kepelbagaian kerana LBS menyokong dorongan untuk perwakilan wanita yang lebih ramai dalam barisan ahli lembaga pengarahnya.

“Ia juga merupakan sebahagian daripada perancangan LBS untuk meningkatkan fokus kepada Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG) yang dapat mewujudkan syarikat yang diselaras oleh rangka kerja tadbir urus korporat yang lebih teguh,” katanya.

Mengulas mengenai pelantikan itu, beliau berkata, LBS telah pun memenuhi syarat mandatori untuk perwakilan ahli lembaga wanita dengan pelantikan Datuk Lim Mooi Pang yang telah menganggotai lembaga pengarah LBS sejak 2009.

“Kami sememangnya berbesar hati untuk mengalu-alukan pelantikan Lei Choo, seorang veteran daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk menyertai kami.

“Dengan pengalaman luas dan latar belakang beliau, saya yakin Lei Choo akan melakukan tugas yang luar biasa menerusi peranan baharunya ini di samping memberikan khidmat nasihat yang baik serta pandangan bernas yang bakal membantu memacu LBS ke hadapan.

Artikel Berkaitan:

“Kami juga berharap pemegang saham mengiktiraf usaha dalam menyediakan pengawasan tadbir urus korporat yang sesuai di LBS dan pada masa sama kami turut menyokong kepelbagaian jantina serta kesaksamaan dalam kalangan ahli lembaga,” jelasnya.

Dalam pada itu, LBS turut mengumumkan pelantikan semula Pengarah Urusan, Datuk Wira Lim Hock Guan sebagai Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, manakala Datuk Seri Lim Hock Seong dan Lim Kim Kiat melepaskan jawatan sebagai Pengarah Eksekutif LBS dan seterusnya dilantik menjadi Ketua Pegawai Operasi di LBS.

Hock San berkata, peletakan jawatan itu akan menyelaraskan ahli lembaga pengarah LBS ke arah perwakilan yang sama dengan empat pengarah eksekutif dan empat pengarah bebas bukan eksekutif berbanding nisbah 6:4 sebelum ini.