RM38.1 juta bantu pihak terjejas banjir termasuk PITAS

Dr Ahmad Shahir Makhtar
Dr Ahmad Shahir Makhtar
A
A
A

SHAH ALAM - Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) memperuntukkan sumbangan sebanyak RM38.1 juta bagi membantu pihak terjejas akibat banjir termasuk masjid, surau, sekolah, pusat tahfiz dan individu di Selangor.

Setiausaha MAIS, Dr Ahmad Shahir Makhtar, berkata, daripada jumlah tersebut sumbangan dana sebanyak RM50, 000 diserahkan kepada Persatuan Institusi Tahfiz Al-Quran Negeri Selangor (PITAS).

Menurutnya, dana sumbangan yang menggunakan sumber baitulmal itu diberikan kepada PITAS selaku penggerak utama institusi tahfiz al-Quran di sekitar Selangor.

"Ini bagi memenuhi maslahah ummah terutama dalam membantu Maahad Tahfiz yang terjejas akibat banjir dalam kejadian pada 17 Disember 2021 yang lalu," katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Dalam pada itu, beliau berkata, MAIS berharap sumbangan itu juga dapat membantu keperluan operasi di samping menaiktaraf kemudahan di maahad tahfiz agar pelajar-pelajar dapat mengikuti pengajian dengan lebih sempurna.

Sementara itu, Pengerusi PITAS, Muhamad Hafiz Muhamad Haneefa berkata, pihaknya bersyukur atas bantuan RM50,000 daripada MAIS yang cakna kepada institusi tahfiz selepas terkesan akibat banjir.

"Insya-ALLAH, duit yang kami terima ini akan digunakan untuk membeli perabot-perabot seperti katil dan tilam yang rosak serta keperluan lain. Terima kasih kepada MAIS atas sumbangan," katanya.

Tambahnya, sumbangan akan diserahkan kepada Maahad Tahfiz Pondok Bustanul Arifin, Maahad Tahfiz Lil Muttaqin dan Maahad Tahfiz Muntazut Taqwa di Kuala Langat.

Artikel Berkaitan: