Penggal kepala ibu: Bapa maafkan perbuatan anak

Jenazah wanita yang maut selepas dipenggal anak lelakinya dijangka disembahyangkan di Surau An Nur pada Isnin.
Jenazah wanita yang maut selepas dipenggal anak lelakinya dijangka disembahyangkan di Surau An Nur pada Isnin.
A
A
A

KUALA SELANGOR - Bapa kepada seorang lelaki yang dipercayai memenggal kepala ibunya hingga maut tetap memaafkan perbuatan anaknya itu meskipun berasa sedih selepas kehilangan isteri tercinta.

Bapanya, 61, yang enggan namanya didedahkan berkata, tragedi berdarah itu amat mengejutkan dan memberi kesan mendalam kepada mereka sekeluarga.

"Apa pun dia tetap anak dan darah daging saya. Ini mungkin kesilapannya tetapi apa boleh buat semuanya sudah terjadi kepada keluarga kami," ketika ditemui semasa menunggu jenazah isterinya dari Hospital Sungai Buloh untuk dibawa ke Surau An Nur di Kampung Baru, Pasir Penambang di sini pada Isnin.

Menurutnya, sebagai bapa sudah tentu dia inginkan yang terbaik buat keluarga, namun semua itu di luar kemampuannya.

"Saya hanya mampu berdoa agar anak saya berubah lebih baik, menjadi insan berguna dan menginsafi kesilapan yang dilakukan," katanya.

Mengulas kejadian itu, lelaki itu berkata, semasa kejadian dia tiada di rumah kerana keluar menjual udang di Kampung Bukit Belimbing.

"Saya mengetahui kejadian ini selepas dimaklumkan oleh seorang rakan. Saya bergegas pulang dan mendapati orang ramai sudah mula berkumpul di luar rumah dan arwah isteri sudah meninggal dunia," katanya.

Bapa tujuh anak itu berkata, arwah isterinya itu disifatkan seorang yang peramah, baik hati dan taat serta rajin beribadah.

Artikel Berkaitan:

"Arwah isteri tidak meninggalkan solat, sering berpuasa sunat dan dia juga ibu yang baik kepada anak-anak kami.

"Arwah juga baik dengan masyarakat dan jika ada kenduri dia antara yang paling awal datang membantu," katanya.

Katanya, meskipun mengakui terasa kehilangan isteri, namun tetap reda dengan ketentuan-Nya dan berdoa agar arwah isterinya itu ditempatkan dalam kalangan orang yang beriman.

"Siapa tidak sedih apabila insan yang kita sayang sudah tiada di dunia ini, tetapi kami perlu pasrah dan menerima takdir yang telah tersurat," katanya.

Dalam pada itu, lelaki berkenaan juga meminta orang ramai menghentikan penyebaran gambar arwah isterinya di media sosial.

"Saya nasihatkan orang ramai jangan sebar gambar kejadian kerana ia mengaibkan keluarga kami. Tolonglah hentikan perbuatan ini," katanya.

Sinar Harian pada Ahad melaporkan seorang wanita maut dipercayai dipenggal kepala oleh anaknya dalam kejadian di Kampung Baru Pasir Penambang di sini pada Sabtu.

Suspek yang berusia 28 tahun itu dikatakan membunuh mangsa ketika berada di ruang tamu berikutan terdapat kesan darah di sekitarnya.

Ketua Polis Daerah Kuala Selangor, Superintendan Ramli Kasa berkata, kejadian disedari oleh salah seorang daripada anak mangsa yang pergi ke kediaman berkenaan selepas beberapa kali gagal menghubungi mangsa.