X

Kindly register in order to view this article
!

Jumaat | 20 Mei 2022

Perak bantu atasi guru stres

Ahmad Saidi (hadapan, tiga dari kanan) dan Saarani (tengah) ketika Sesi Libat Urus Bersama Warga Pendidik sempena program Mesra DUN Manjoi di Institut Latihan Perindustrian pada Isnin.
A
A

Beberapa siri webinar dan program motivasi bantu tingkat semangat warga pendidik

IPOH - Kerajaan negeri Perak mengambil inisiatif mengadakan beberapa program dan sesi libat urus dengan warga pendidik bagi membantu mereka menangani pelbagai isu termasuk stres.

Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Sumber Manusia Perak, Ahmad Saidi Mohamad Daud berkata, pihaknya sentiasa mengambil maklum tentang isu-isu dibangkitkan oleh warga pendidik dan mencari jalan penyelesaian.

Menurutnya, beberapa siri program motivasi diadakan bersama guru-guru dalam membantu meningkatkan semangat mereka yang terkesan akibat pandemik Covid-19.

"Pihak kerajaan negeri sewaktu Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sepanjang tempoh pandemik, kita mengadakan sesi libat urus, sesi kaunseling dan juga sesi kelas motivasi yang kita jemput pakar-pakar motivasi.

"Kita buat secara maya, ada juga kita buat secara fizikal setelah dibenarkan tempoh hari yang mana perkara ini diuruskan kerajaan negeri dengan kerjasama pejabat saya serta Jabatan Pendidikan Negeri (JPN), Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) dan Institut Darul Ridzuan (IDR).

"Sepanjang sesi libat urus itu, kita minta PPD dan JPN sediakan senarai nama guru-guru yang memerlukan motivasi. Mungkin ada guru-guru yang hilang semangat. Isu-isu ini kerajaan negeri sudah perhalusi dan kita sudah membantu dengan beberapa siri libat urus dan webinar sebelum ini," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas ditemui pada Sesi Libat Urus Bersama Warga Pendidik sempena program Mesra Dewan Undangan Negeri (DUN) Manjoi di Institut Latihan Perindustrian di sini pada Isnin.

Hadir sama, Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad.

Ahmad Saidi berkata, kebanyakan guru-guru berdepan tekanan akibat perubahan yang berlaku di dalam pengajaran dan pembelajaran (PdP).

Tambah beliau, sebelum ini warga pendidik membuat persediaan PdP untuk kelas secara bersemuka kemudian mereka terpaksa menyediakan bahan bagi PdP di rumah.

Katanya, selepas pelbagai persediaan dibuat seperti video pembelajaran secara interaktif, PdP kembali dibuat secara fizikal kembali.

"Bila buat PdPR pelajar sudah mula beradaptasi dengan kaedah pendidikan itu, guru-guru juga telah membiasakan diri membuat video pembelajaran secara interaktif, tiba-tiba sekarang patah balik ke asal iaitu fizikal.

"Jadi sudah pasti cikgu-cikgu ini berhadapan dengan kerja yang bertambah dan perlu memastikan mereka mengikut situasi semasa. Disebabkan itu, ada guru-guru yang berhadapan dengan keadaan stres dan sedikit tekanan," katanya.

Beliau berkata, sehingga kini terdapat tujuh webinar yang telah dijalankan serta empat program motivasi secara fizikal selepas program secara bersemuka dibenar untuk diadakan.

Jelasnya, setiap program yang dijalankan menerusi inisiatif Tuisyen Cikgu Saarani itu juga mendapat sambutan menggalakkan dan sebahagian program mendapat penyertaan sehingga 1,000 orang.

Sementara itu, Ahmad Saidi berkata, terdapat juga beberapa cadangan yang disuarakan oleh warga pendidik terutama dalam usaha pendigitalan pendidikan dengan menyediakan kemudahan seperti papan digital di dalam kelas.

Menurutnya, kerajaan negeri akan memikirkan dan mempertimbangkan cadangan-cadangan yang baik untuk diperkasakan terutama bagi merangka pelan pembangunan Perak bagi tahun 2030.

Dalam pada itu, beliau menjelaskan kerajaan negeri juga akan melaksanakan satu lagi program baharu iaitu Smart Generation atau Smart G Cikgu Saarani sebagai usaha menukarkan istilah generasi tercicir yang tidak bersekolah akibat pandemik Covid-19.


Jangan lupa follow kami di Instagram, Telegram dan TikTok
Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!