X

Kindly register in order to view this article
!

Isnin | 23 Mei 2022

Amaran tegas syarikat bungkus minyak masak bersubsidi

Alexander (dua, kanan) bersama Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat Sabah Datuk Ir Shahelmay Yahya (kanan) meninjau harga ayam yang dijual di Pasar Besar Kota Kinabalu pada Isnin.
A
A

KOTA KINABALU - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) pada Isnin memberi amaran tegas kepada syarikat pembungkusan minyak masak bersubsidi supaya menjalankan aktiviti itu mengikut syarat ditetapkan bagi memastikan bekalan dalam pasaran sentiasa mencukupi.

Menterinya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, syarikat pembungkusan minyak masak bersubsidi dilantik KPDNHEP perlu mematuhi syarat ditetapkan bagi mengelak sebarang ketirisan dalam pembekalan barang kawalan itu dan tindakan tegas akan diambil sekiranya berlaku penyelewengan.

Beliau berkata, semua syarikat terbabit perlu memastikan pembekalan minyak masak bersubsidi paket satu kilogram sampai kepada golongan sasar dan bukan untuk mengaut keuntungan.

"Janganlah berlaku ketirisan atau melakukan perkara yang tidak dibenarkan selain daripada membekalkan minyak masak bersubsidi paket satu kilogram untuk golongan sasar atau mungkin mengambil keuntungan besar dengan menjualnya di luar dan mendapat harga lebih tinggi.

"Jika ini berlaku, kita akan mengambil tindakan tegas (kepada mana-mana syarikat terbabit). Kita akan bertegas dalam hal ini bagi menjamin bekalan minyak masak di pasaran," katanya kepada pemberita selepas merasmikan program penyeragaman harga di Pelabuhan Sepanggar di sini pada Isnin.

Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai langkah dan pendekatan diambil kementerian dalam usaha mengatasi masalah kekurangan bekalan minyak masak bersubsidi paket satu kilogram di pasaran yang sering menjadi rungutan pengguna termasuk di Sabah.

Menurutnya, KPDNHEP mengambil maklum mengenai isu tersebut, dan akan merangka strategi lebih komprehensif bagi mengatasi masalah itu sekali gus memastikan bekalan minyak masak bersubsidi sentiasa ada di pasaran.

"Ini lebih kepada (syarikat) pembungkus semula (minyak masak bersubsidi) yang dilantik untuk memberi bekalan kepada pasaran. Secara jangka pendek, kita akan pantau (isu tersebut) dan kita juga akan merangka strategi lain untuk jangka panjang,” katanya.

Mengenai program penyeragaman harga, Nanta berkata, kerajaan Persekutuan memperuntukkan RM40 juta pada tahun ini untuk menjalankan program tersebut bagi barangan keperluan seperti gula, minyak masak dan tepung gandum termasuk di Sabah.

Dalam pada itu, Nanta memberitahu, dua syarikat utama pembekal gula tempatan iaitu Central Sugars Refinery Sdn Bhd (CSR) dan MSM Malaysia Holdings Bhd (MSM) masing-masing akan membawa masuk lebih 100 kontena gula sebulan ke Sabah bagi memastikan bekalan sentiasa mencukupi.

"Ini bererti, lebih 200 kontena (gula dibawa masuk ke Sabah) sebulan... agak mencukupi kerana setakat ini kita tiada menerima laporan tentang kekurangan bekalan gula (di Sabah). Saya berharap rantaian ini akan lancar supaya barang keperluan ini sampai ke golongan sasar.

"KPDNHEP sangat menghargai kerjasama semua pihak termasuk pengurusan Pelabuhan Sepanggar dalam memastikan bekalan barangan mencukupi,” katanya. - Bernama


Jangan lupa follow kami di Instagram, Telegram dan TikTok
Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!