Banglo jadi stor simpan mercun, minuman keras diserbu

Abdul Majid (tiga dari kanan) menunjukkan sebahagian mercun, bunga api dan minuman keras yang dirampas pada sidang akhbar di IPK Melaka pada Isnin.
Abdul Majid (tiga dari kanan) menunjukkan sebahagian mercun, bunga api dan minuman keras yang dirampas pada sidang akhbar di IPK Melaka pada Isnin.
A
A
A

MELAKA - Sebuah banglo yang dipercayai dijadikan stor untuk menyimpan pelbagai jenis mercun dan minuman keras tidak bercukai diserbu polis pada Jumaat lalu.

Ketua Polis Melaka, Datuk Abdul Majid Mohd Ali berkata, tiga lelaki berusia 27 hingga 29 tahun ditahan dalam serbuan di banglo sewa berkenaan pada jam 7 malam.

Menurutnya, pemeriksaan di kediaman tersebut menemui pelbagai jenis mercun dipercayai tanpa permit dan minuman keras tidak bercukai dengan nilai rampasan dianggarkan berjumlah RM150,000.

"Hasil pemeriksaan di premis itu kita menjangkakan bahawa ini adalah stok mercun dan bunga api untuk Tahun Baharu Cina.

"Modus operandi sindiket ini mereka akan mencari pelanggan di media sosial, WeChat dan menggunakan katalog, apabila pelanggan membuat tempahan mereka akan datang ke premis itu," katanya.

Beliau berkata demikian ketika sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka di Bukit Beruang di sini pada Isnin.

Mengulas lanjut beliau berkata, siasatan di tempat kejadian turut mendapati lebih separuh mercun dan minuman keras yang dirampas dipercayai telah dijual.

"Semakan mendapati dua daripada tiga yang ditahan mempunyai rekod jenayah berkaitan memiliki video lucah dan mengaji pekerja asing.

Artikel Berkaitan:

"Kita turut percayai mereka telah menyewa banglo itu lebih enam bulan dan disyaki mendapatkan bekalan mercun dari penjual tempatan berlesen selain membuat tempahan terus dari negara China.

"Kita yakin ini bukanlah kegiatan baru, namun telah lama bertapak di Melaka, malah pemeriksaan turut menemui sebanyak 146 bungkusan kurier dari negara China yang dipercayai disimpan sejak enam bulan lalu," katanya.

Katanya, kesemua mereka masih direman dan kes disiasat di bawah Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1957 dan Seksyen 135 (1) (d) Akta Kastam 1967.