X

Kindly register in order to view this article
!

Jumaat | 20 Mei 2022

OKU Sentral kemuka cadangan perkasa OKU kepada Melaka

Ras Adiba
A
A

KUALA LUMPUR - Persatuan OKU Sentral mengemukakan lapan cadangan kepada kerajaan Negeri Melaka bagi melindungi dan memperkasa komuniti orang kurang upaya (OKU) di negeri berkenaan.

Ahli Dewan Negara yang mewakili OKU Senator Datuk Ras Adiba Radzi yang juga Presiden Persatuan OKU Sentral dalam kenyataan berkata, kesemua cadangan itu dikemukakan semasa pertemuannya dengan Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Sulaiman Md Ali baru-baru ini.

“Dalam perjumpaan tersebut saya telah menyentuh mengenai soal pembangunan dan pemerkasaan komuniti OKU di negeri Melaka. Yang Amat Berhormat Ketua Menteri telah memberikan dan menyatakan sokongan untuk memastikan kebajikan dan kesejahteraan komuniti OKU dilindungi,” katanya.

Menurut Ras Adiba antara lapan perkara yang dikemukakannya kepada kerajaan Melaka ialah pelantikan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) daripada kalangan OKU bagi mewakili suara komuniti OKU di Dewan Undangan Negeri (DUN) berkenaan.

“Perkara ini dapat direalisasikan seperti dinyatakan dalam manifesto Barisan Nasional ketika Pilihan Raya Negeri lalu yang berjanji untuk melantik lima ADUN lantikan. Sekiranya Kerajaan Negeri Melaka bersetuju melantik ADUN lantikan OKU maka ia akan menjadi negeri pertama di Malaysia yang mempunyai wakil OKU sebagai ADUN,” katanya.

Beliau berkata, pelantikan ADUN dalam kalangan OKU akan menjadi penanda aras kepada negeri-negeri lain untuk memperkasakan dan memartabatkan golongan berkenaan kerana melaluinya banyak permasalahan dan isu warga OKU dapat diketengahkan dan dibincangkan dalam Dewan Undangan Negeri.

Menurut Ras Adiba, perkara lain yang dikemukakan kepada kerajaan Negeri Melaka ialah penyediaan bantuan ihsan atau baucar khusus buat komuniti OKU yang terjejas akibat banjir membeli peralatan bantuan pendengaran, kerusi roda, ubatan dan sebagainya.

Beliau turut mencadangkan bantuan permulaan perniagaan kepada OKU bagi menceburkan diri dalam bidang perniagaan, perusahaan kecil dan sederhana dan lain-lain supaya golongan itu dapat meneruskan kehidupan seharian.

Katanya, cadangan lain ialah pelaksanaan Program Intervensi Kesihatan Mental yang berfokus kepada remaja memandangkan pandemik Covid-19, pengangguran, masalah kewangan telah menyebabkan kesihatan mental menjadi serius dalam kalangan anak muda.

Menurut Ras Adiba, turut disentuh dalam pertemuan bersama Sulaiman ialah penyediaan bantuan kewangan kepada pesakit penyakit jarang jumpa bagi mendapatkan rawatan, suntikan dan pembelian ubat.

Beliau berkata, turut dibangkitkan ialah penguatkuasaan dan tindakan terhadap penyalahgunaan kemudahan awam OKU seperti parkir OKU dan tandas OKU oleh majlis perbandaran dan pihak berkuasa tempatan (PBT) termasuk cadangan mengenakan denda maksimum.

Beliau turut mencadangkan pelantikan wakil OKU dalam setiap PBT supaya isu-isu tempatan mengenai OKU dapat diselesaikan dengan kadar segera.

Ras Adiba berkata, penyediaan Pelan Tindakan OKU peringkat negeri dengan mengambil kira aspek kebajikan, pendidikan, infrastruktur, prasarana dan lain-lain amat diperlukan bagi memastikan OKU tidak terpinggir.

Pembangunan dan pemerkasaan komuniti OKU adalah tanggungjawab semua pihak termasuklah kerajaan negeri dan berharap negeri Melaka dapat menimbangkan kesemua cadangan yang dikemukakan demi kesejahteraan dan kebajikan komuniti OKU. - Bernama


Jangan lupa follow kami di Instagram, Telegram dan TikTok
Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!