Kerajaan lancar HIES/BA 2022

Mustapa (tengah) ketika bercakap dalam sidang akhbar selepas melancarkan Survei Pendapatan, Perbelanjaan Isi Rumah dan Kemudahan Asas (HIES/BA) 2022 pada Isnin.
Mustapa (tengah) ketika bercakap dalam sidang akhbar selepas melancarkan Survei Pendapatan, Perbelanjaan Isi Rumah dan Kemudahan Asas (HIES/BA) 2022 pada Isnin.
A
A
A

SEPANG - Kerajaan melalui Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) melancarkan Survei Pendapatan, Perbelanjaan Isi Rumah dan Kemudahan Asas (HIES/BA) 2022 bagi mendapatkan data lengkap untuk merancang dan memantau keberkesanan pelaksanaan rancangan pembangunan negara.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, survei itu bermula Januari hingga Disember tahun ini secara bersemuka melibatkan hampir 93,000 isi rumah terpilih atau lebih 500,000 penduduk di seluruh negara.

Beliau berkata, dapatan daripada survei itu juga akan menjadi tanda aras baharu bagi kerajaan menggubal polisi dan dasar berkaitan untuk kesejahteraan rakyat.

“Ada empat sumber pendapatan. Satu daripada gaji mereka, yang kedua daripada anak-anak, yang ketiga pelaburan. Ini antara sumber utama pendapatan. Perbelanjaan pula kita nak tahu ‘pattern’ (corak) dia.

“Makanan itu berapa, untuk rekreasi berapa, untuk kenderaan berapa. Ini penting untuk kita melihat corak perbelanjaan dan ia akan menentukan pemberat bagi CPI (Indeks Harga Pengguna).

“Jadi Jabatan Perangkaan memainkan peranan penting dalam memastikan angka-angka ini tepat,” katanya ketika sidang akhbar selepas melancarkan HIES/BA 2022 di Dewan Serbaguna, Bandar Baru Salak Tinggi di sini pada Isnin.

Hadir sama, Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin.

Mengulas lanjut, Mustapa berkata, responden terpilih boleh juga membuat pengisian borang soal selidik secara 'self-response' secara dalam talian.

Artikel Berkaitan:

"Survei Pendapatan Isi Rumah atau HIS yang pertama telah dilaksanakan pada tahun 1973 bagi mengukur pendapatan dan kemiskinan rakyat di Semenanjung Malaysia.

"Pada tahun 1980, survei ini telah diperluaskan ke negeri Sabah dan Sarawak. Survei ini mula dijalankan serentak bersama Survei Perbelanjaan Isi Rumah bermula pada tahun 2014/15 dan diadakan dua kali setiap lima tahun," katanya.

Dalam pada itu, Mustapa memaklumkan data muktamad Banci Malaysia 2020 akan dikeluarkan dalam bentuk laporan secara berperingkat bermula dari Februari 2022 sehingga 2024 dengan yang pertama diterbitkan ialah Penemuan Awalan Banci Malaysia 2020.

“Seterusnya, dijangka lebih daripada 1,000 laporan Banci Malaysia 2020 merangkumi 16 negeri, 160 daerah, 222 Parlimen dan 600 Dewan Undangan Negeri akan diterbitkan secara berperingkat.

“Selaras dengan pengukuhan Sistem Statistik Negara, Majlis Statistik dan Data Negara (MSDN) telah ditubuhkan bagi menentukan hala tuju sistem statistik negara di samping berperanan sebagai platform penyelarasan maklumat peringkat negara.

“Selain itu, perkembangan fenomena data raya dan ketersediaan teknologi telah mendorong pertumbuhan inovasi baharu dan membuka ruang agensi kerajaan bagi meningkatkan kualiti perkhidmatan kepada rakyat,” katanya.

Jelas beliau, penubuhan Pusat Analitik Data Raya Negara (NBDAC) adalah kritikal bagi menyokong hasrat kerajaan dalam memastikan setiap perancangan dan pembuatan keputusan berlandaskan analitik data.