Tabung persaraan LTAT dijamin kerajaan

Hishammuddin Tun Hussein
Hishammuddin Tun Hussein
A
A
A

KUALA LUMPUR - Tabung Persaraan Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) akan dijamin kerajaan sepenuhnya.

Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein pada Isnin berkata, cadangan dasar pindaan Akta Tabung Angkatan Tentera telah dibentangkan dalam mesyuarat Kabinet pada minggu lepas dan Kabinet telah memberi kelulusan secara prinsip serta perkara itu akan dibawa ke Parlimen untuk dipinda pada tahun ini.

"Saya akan beri perhatian penuh kepada cadangan pindaan ini sehingga ia lulus dan dilaksanakan. Ini jaminan saya.

"Insya-ALLAH, apabila pindaan ini dilaksanakan, ia bukan sahaja akan memelihara tabung persaraan warga Angkatan Tentera Malaysia (ATM) tetapi juga akan membolehkan LTAT terus memacu agenda transformasi mereka," katanya semasa berucap dalam Amanat Menteri Kanan Pertahanan 2022 di Wisma Perwira ATM di sini.

Hishammuddin mengharapkan agar kepimpinan LTAT yang terkini akan meneruskan usaha ini agar pelaburan dilaksanakan oleh LTAT memenuhi keperluan dan dapat memberi pulangan stabil, kompetitif serta mampan sepertimana institusi persaraan yang lain.

Sementara itu beliau berkata, kementeriannya akan melaksanakan Blueprint Perumahan 3.0 Mindef dan ia akan dilancarkan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dalam waktu terdekat.

Hishammuddin memberitahu, di bawah Blueprint Perumahan 3.0, sebanyak 12,000 unit Rumah Keluarga Malaysia Angkatan Tentera (RKMAT) baharu bakal dibina dalam tempoh Rancangan Malaysia ke-12 dan ke-13.

“Bagi tahun ini sahaja, dijangka tujuh projek pembinaan RKMAT akan siap pada tahun ini meliputi enam negeri iaitu Kedah (RKMAT Tok Jalai), Perlis (RKMAT Kem Oran), Kelantan (RKMAT Kem Tumbi), Johor (RKMAT Segamat), Sarawak melibatkan dua kem iaitu RKMAT Pakit dan RKMAT Miri) dan Pahang (RKMAT Kem Bera).

Artikel Berkaitan:

"Selain itu, saya ingin mengumumkan bahawa lebih banyak rumah di bawah Program Satu Anggota Satu Rumah (SASaR) akan dibina," katanya.

Beliau berkata, tiga lokasi telah dikenal iaitu di Kem Transmitter Sungai Besi, Kem Wardieburn, Setapak dan Kem Genting Klang malah projek SASaR di Kem Transmitter Sungai Besi telah bermula pada 1 Jun tahun lepas dan dijangka siap pada tahun 2025.

Hishammuddin berkata, bagi veteran ATM pula, sebanyak RM2.59 juta telah diperuntukkan bagi membaik pulih dan membina kira-kira 100 unit rumah veteran ATM menerusi Program Inisiatif Perumahan Veteran ATM yang dahulunya dikenali sebagai 1Malaysia Veteran Home Repair Programme.

"Pada masa sama, tahun ini juga, sebanyak 275 Projek Jiwa Murni dijangka dilaksanakan di Semenanjung Malaysia yang turut akan memanfaatkan lebih ramai veteran ATM," katanya.

Turut hadir, Panglima ATM, Jeneral Tan Sri Affendi Buang dan Ketua Setiausaha Mindef, Datuk Seri Muez Abd Aziz.- Bernama