Poliklinik jual sijil vaksin Covid-19 palsu diserbu

Datuk Arjunaidi Mohamed
Datuk Arjunaidi Mohamed
A
A
A

SHAH ALAM - [DIKEMAS KINI] Mengenakan bayaran sehingga RM500 bagi setiap sijil digital vaksinasi Covid-19 yang dikeluarkan. Itu antara kegiatan yang dikesan sebuah poliklinik swasta yang dipercayai menjalankan aktiviti mengeluarkan sijil digital vaksinasi secara tidak sah sejak beberapa bulan lalu.

Kegiatan yang didalangi individu warga tempatan termasuk seorang pengamal perubatan itu turut dikesan memfokuskan pelanggan yang terdiri daripada golongan anti vaksin.

Ketua Polis Selangor, Datuk Arjunaidi Mohamed berkata, kegiatan klinik swasta ini berjaya dikesan pihaknya lalu menjalankan serbuan ke atas poliklinik berkenaan pada Jumaat lalu.

"Seramai tujuh individu berumur antara 20 hingga 35 tahun yang terdiri daripada empat lelaki dan tiga wanita telah ditahan dalam serbuan berkenaan.

"Kesemua suspek yang ditahan melibatkan pemilik, pekerja dan 'runner' poliklinik swasta tersebut," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor pada Isnin.

Menurutnya, serbuan yang dijalankan turut merampas peralatan komputer yang dipercayai boleh digunakan untuk mengisi data pesakit ke dalam sistem MySejahtera.

"Hasil penelitian di dalam komputer riba yang dirampas mendapat terdapat 5,601 pesakit yang telah didaftarkan sebagai penerima vaksinasi ke dalam sistem MySejahtera.

"Siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengenal pasti jumlah yang didaftarkan tanpa menerima suntikan," katanya.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, siasatan dijalankan mendapati kegiatan ini menyasarkan golongan yang tidak mahu mendapatkan suntikan vaksin.

"Modus operandi yang digunakan dalam kes ini ialah dengan cara mendapatkan pelanggan melalui sebaran 'WhatsApp' dan juga kenalan terdekat.

"Siasatan awal dijalankan turut mendapati klinik ini menerima vaksin dari Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), namun vaksin akan dikeluarkan dan mereka akan memulangkan botol yang kosong kepada pihak KKM," katanya.

Jelasnya, pihaknya sebelum ini telah menerima laporan berkaitan satu pesanan ringkas yang tular melalui aplikasi WhatsApp yang menawarkan khidmat mendapatkan pendaftaran vaksinasi di dalam aplikasi MySejahtera.

"Siasatan secara lanjut yang dijalankan kemudiannya membawa kepada kepada serbuan di klinik ini.

"Kes disiasat di bawah Seksyen Kanun Keseksaan dan Seksyen 22 (d) Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988," katanya.