KDN peruntuk RM3.05 juta beli bot tambahan aset PDRM

Hamzah, (dua kiri) menguji ketahanan bot pada sesi lawatan kerja Pengurusan Banjir Pantai Timur di Kem Pasukan Gerakan Am (PGA) Galing di sini pada Isnin.
Hamzah, (dua kiri) menguji ketahanan bot pada sesi lawatan kerja Pengurusan Banjir Pantai Timur di Kem Pasukan Gerakan Am (PGA) Galing di sini pada Isnin.
A
A
A

KUANTAN - Kementerian Dalam Negeri (KDN) sudah membuat pembelian 50 bot pelbagai saiz sebagai pertambahan aset kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Menterinya, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, pembelian itu membabitkan peruntukan berjumlah RM3.05 juta di jangka dapat membantu pasukan beruniform itu supaya lebih bersedia dalam operasi keselamatan dan menyelamat mangsa ketika banjir.

Menurutnya, setakat ini, kementerian sudah menerima tujuh bot pelbagai saiz yang diberikan kepada negeri yang memerlukan bot berkenaan.

"Hari ini, kita sudah ada tujuh bot jenis Whaly pelbagai saiz yang bernilai keseluruhan berjumlah RM267,000. Bot ini amat sesuai digunakan dalam operasi keselamatan dan menyelamat mangsa ketika banjir serta tahan lasak.

"Jadi, baki 43 bot lagi dijangka diterima dalam tempoh 10 minggu ini untuk memastikan aset berkenaan dapat diserahkan kepada negeri yang memerlukan," katanya.

Beliau berkata ketika mengadakan sidang akhbar sempena lawatan kerja Pengurusan Banjir Pantai Timur di Kem Pasukan Gerakan Am (PGA) Galing di sini pada Isnin.

Mengulas lanjut, Hamzah berkata, penyerahan bot akan diberikan kepada negeri yang lebih berisiko berdepan bencana banjir.

Jelasnya, kebiasaannya aset ini akan diatur gerak ke kawasan seperti di Kelantan, Pahang dan Terengganu.

Artikel Berkaitan:

"Tetapi di negeri lain ia bergantung kepada tahap keperluan mereka. Namun begitu penyerahan bot itu akan diberikan selepas mendapat maklumat terperinci keperluan bagi setiap negeri," katanya.