X

Kindly register in order to view this article
!

Pagi-pagi dah riuh...

Kerang menjadi sumber pendapatan utama nelayan di Ayer Baloi.
A
A

PONTIAN - Suasana sunyi waktu pagi Pengkalan Nelayan Ayer Baloi bertukar riuh apabila sekumpulan nelayan bergerak ke bot masing-masing dengan peralatan menyauk kerang.

Kewujudan kawasan semula jadi ternakan nelayan di pesisir pantai dekat Ayer Baloi memberi sumber rezeki nelayan kecil.

Kerang adalah antara sumber perikanan penting yang menjadi perhatian dunia.

Tidak hairanlah harga kerang semakin meningkat di pasaran kerana permintaan tinggi yang diterima.

Namun daerah Pontian cukup bertuah kerana memiliki kawasan perairan sesuai bagi pembiakan kerang.

Menurut rekod, pada 2016, sebanyak 1,200 tan metrik kerang dihasilkan melalui aktiviti akuakultur sekali gus meletakkan daerah Pontian sebagai pengeluar kerang paling tinggi dan berkualiti.

Ketua Komuniti Portfolio Kerang, Koperasi Nelayan Ayer Baloi, Abd Aziz Mohamad berkata, secara amnya, benih kerang dijumpai di kawasan pesisir pantai sepanjang tahun di mana kawasan berpotensi bagi ternakan kerang ialah Ayer Baloi, Rimba Terjun, Telok Kerang, Api-Api dan Serkat.

Namun Ayer Baloi mempunyai kawasan perairan bersih dan cukup sesuai bagi pembiakan kerang secara semula jadi sehingga digelar hab pengeluaran kerang.

Katanya, tidak perlu menunggu masa atau musim-musim tertentu untuk mengutip hasil kerang, sebaliknya apabila kerang sudah mencapai saiz yang ditetapkan iaitu 17 hingga 19 milimeter.

"Boleh ambil kerang kalau sudah capai saiz. Nelayan di sini terikat dengan peraturan ditetapkan Jabatan Perikanan yang mengeluarkan permit kepada kami untuk mengambil kerang.

"Bahagian Penyelidikan Perikanan di Gelang Patah akan datang buat pemeriksaan kualiti air, saiz kerang dan pelbagai lagi sebelum permit dikeluarkan.

"Tindakan ini dilakukan bagi memastikan kawasan pembiakan kerang terjaga dan hasil kerang mengikut saiz sepatutnya," katanya.

Tunggu air pasang

Abd Aziz
Abd Aziz

Abd Aziz berkata, nelayan perlu menunggu air pasang untuk ke kawasan pembiakan kerang yang memakan kira-kira 10 minit dari Pengkalan Nelayan Ayer Baloi.

Katanya, hanya apabila air pasang, nelayan boleh ke laut. Ketika air surut, katanya, kuala menjadi terlalu cetek.

"Biasanya kami akan pulang pada sebelah petang, ketika air kembali pasang.

"Kerja-kerja menyauk kerang dilakukan menggunakan sauk kerang yang dibuat sendiri oleh nelayan," katanya.

Ketika air pasang juga, nelayan akan mencuci hasil kerang menggunakan mesin khas yang kemudiannya akan diasingkan mengikut saiz.

"Air laut digunakan untuk mencuci kerang. Kerang yang dicuci menggunakan mesin khas akan diasingkan mengikut saiz sebelum dijual," katanya.

Kerang turut dicuri

Nelayan, Mohd Azizi Abdul Aziz, 30, berkata, harga kerang yang melambung tinggi sehingga boleh mencecah RM10 sekilogram menyebabkan kawasan pembiakan diceroboh pencuri.

Katanya, dia sendiri berdepan situasi terlihat kelibat pencuri membawa hasil kerang yang diambil di kawasan pembiakan kerang pada waktu malam.

"Biasanya pencuri akan datang mengambil hasil kerang pada waktu malam kerana ketika itu nelayan tidak dibenarkan mengambil hasil kerang sebagaimana yang ditetapkan dalam peraturan permit mengambil kerang.

"Jadi pencuri akan sewenang- wenangnya ke tempat pembiakan kerang pada waktu malam. Bila nelayan sampai ke lokasi tersebut pada waktu siang, hasil kerang sangat berkurangan,"katanya.

Beliau berharap agar agensi penguatkuasa meningkatkan rondaan bagi mengekang tindakan tidak bertanggungjawab tersebut yang dikhuatiri akan memusnahkan kawasan pembiakan kerang.

Mesin canggih bersihkan kerang, terbiar

Pernah mendapat tumpuan luas media, sejak dua tahun lalu, apabila mesin canggih yang dapat membersihkan logam berat pada kerang dikenali sistem molluscure dirasmikan dan diletak di Pengkalan Nelayan Ayer Baloi.

Pengerusi Koperasi Nelayan Ayer Baloi, Salahuddin Jantan berkata, mesin tersebut tidak digunakan nelayan menyebabkan ia terbiar.

Katanya, dia dukacita kerana mesin yang dikatakan dapat memberi manfaat nelayan tidak seperti digambarkan.

"Perasmian memperkenalkan mesin itu cukup gah. Bukan sahaja ahli parlimen, tetapi turut melibatkan menteri besar dua tahun lepas," katanya.

Justeru, beliau berharap kerajaan negeri melihat semula kepentingan mesin berkenaan supaya ia digunakan dan bukan terbiar begitu sahaja.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus