X

Kindly register in order to view this article
!

Ahad | 26 Jun 2022

'Siasatan terperinci akan dilakukan bantu Rohana' - Hamzah

Laporan Sinar Harian pada Ahad.
A
A

KUANTAN - Siasatan terperinci akan dilakukan berhubung taraf kewarganegaraan Rohana Abdullah yang ditinggalkan ibunya ketika berusia dua bulan di sebuah tadika pada 22 tahun lalu.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, pemberian taraf kewarganegaraan bukan sesuatu mudah dan memerlukan dokumen berkaitan.

Menurutnya, justeru pemberian kewarganegaraan tidak boleh diberikan secara pukal kerana banyak masalah yang berlaku seperti Rohana.

"Kalau kita buat secara pukal, ia akan menjadi satu masalah, kerana angkanya cukup besar seperti berlaku di Sabah, Sarawak dan di seluruh negara.

"Jadi, dalam kes ini, biar kita lakukan kajian dan akan bantu kepada mereka yang memerlukan.Saya difahamkan bapa kepada Rohana adalah warganegara Malaysia dan jika ada dokumen yang membuktikannya, ia mudah untuk kita berikan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kisah gadis berusia 22 tahun itu yang dijaga seorang warga emas berketurunan Cina, Chee Hoi Lan, 83, sejak berusia dua bulan.

Rohana yang kini bekerja sebagai guru tuisyen, berharap dapat memiliki sekurang-kurangnya kad pengenalan sementara untuk memudahkan kehidupannya.

Pada Ahad, gadis itu menerima panggilan telefon daripada Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob bertanyakan mengenai kisahnya seperti yang disiarkan dalam sebuah akhbar tempatan

Ismail Sabri menerusi Facebook memaklumkan sedia membantu Rohana untuk mendapatkan taraf kewarganegaraan dan kad pengenalan.

Media pada Jumaat melaporkan Rohana, ditinggalkan ibunya, seorang warga Indonesia dan dijaga Hoi Lan, yang juga guru tadika di tempat ibu Rohana bekerja sebagai pekerja pembersihan.

Rohana dilaporkan terpaksa berhenti sekolah kerana tidak mempunyai dokumen pengenalan diri serta pernah mengalami kebimbangan (anxiety) akibat masalah dihadapinya.


Jangan lupa follow kami di Instagram, Telegram dan TikTok
Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!