PRN Johor perlu pandangan KKM: Hishammuddin

Hishammuddin - Foto Bernama
Hishammuddin - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Pengalaman Pilihan Raya Negeri (PRN) di Sabah, Melaka dan Sarawak akan dijadikan sandaran sekiranya PRN Johor akan dilaksanakan.

Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, sebarang keputusan sama ada PRN Johor akan dilaksanakan atau tidak akan perlu mendapat pandangan daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

"Kita mesti dapatkan pandangan KKM. Orang Johor akan tanya apa bezanya PRN di Melaka, Sarawak kalau sekiranya PRN di Johor diteruskan.

"Bukan untuk saya tentukan. Apabila ia sudah diputuskan nanti tugas kita di Kuartet dan sebagai menteri yang mengkoordinasikan Covid-19, saya terpaksa membawa bersama kepimpinan negeri Johor apa juga keputusan.

"Tunggu keputusan dahulu," katanya pada sidang media selepas menyampaikan amanat di Kementerian Pertahanan pada Isnin.

Beliau pada masa sama berkata, paling penting adalah untuk memastikan perjalanan PRN berlangsung dengan selamat.

"Jangan takut-takutkan orang ramai kerana yang penting sekiranya keputusan ialah mengadakan PRN biarlah berjalan dengan selamat," katanya.

Desas-desus berkenaan kemungkinan berlaku pembubaran DUN Johor seterusnya PRN Johor dalam masa terdekat semakin bertiup kencang.

Artikel Berkaitan:

Biarpun terdapat laporan penafian melibatkan beberapa pemimpin negeri itu, kenyataan yang dikeluarkan oleh parti-parti dominan negara yang bersedia bertempur merebut tahta kerajaan negeri itu seolah-olah memberi petunjuk bahawa PRN Johor akan berlaku.

Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO dilapor memberi lampu hijau kepada parti untuk bersiap sedia menghadapi PRN Johor bagi menubuhkan kerajaan yang lebih stabil berbanding majoriti satu kerusi ketika ini.

Pas pula meskipun Presidennya, Tan Sri Abdul Hadi Awang mahu mengambil pendekatan tunggu dan lihat, tidak menolak untuk mencalonkan calon-calon mereka seperti mana pilihan raya sebelum-sebelum ini.

Pembangkang bagaimanapun kekal dengan pendirian PRN negeri itu tidak sesuai diadakan sekarang bahkan Timbalan Presiden Amanah, Datuk Seri Salahuddin Ayub yang juga Ahli Parlimen Pulai dilapor tdak akan teragak-agak untuk menarik balik sokongannya terhadap memorandum persefahaman (MoU) kerjasama dua parti antara PH dan kerajaan sekiranya PRN diadakan.