Dua pemancing hilang, operasi Carilamat diaktifkan

Operasi Carilamat dua lelaki yang dilaporkan hilang selepas keluar memancing diaktifkan pasukan Maritim Malaysia di perairan Semporna.
Operasi Carilamat dua lelaki yang dilaporkan hilang selepas keluar memancing diaktifkan pasukan Maritim Malaysia di perairan Semporna.
A
A
A

SEMPORNA - Dua lelaki dilaporkan hilang selepas keluar memancing pada Sabtu lalu di perairan Pulau Mataking, di sini.

Mangsa dikenali sebagai Makbul dan Azip Kiram dikatakan masih belum pulang ke rumah sebelum laporan dibuat oleh ahli keluarga mereka.

Pengarah Zon Maritim Semporna, Komander Maritim Norrimi Hassan berkata, sebaik laporan diterima, operasi Carilamat kedua-dua mangsa diaktifkan pada jam 1 petang Ahad.

"Mangsa masing-masing berusia 38 dan 50 tahun itu dikatakan keluar memancing pada 15 Januari lalu namun sehingga kini masih belum pulang.

"Operasi Carilamat segera dilakukan dan seawal jam 7 pagi tadi operasi yang memasuki hari kedua dimulakan," katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Tambah beliau lagi, lokasi pencarian dibahagi kepada enam sektor dengan dibantu oleh pelbagai agensi keselamatan.

"Aset milik Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) digerakkan dalam operasi ini dengan dibantu aset daripada Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) serta Taman-Taman Sabah (TTS).

"Keluasan operasi merangkumi 256 batu nautika persegi dan Pos Hadapan Carilamat (PHC) juga telah diaktifkan di Jeti Pelancongan Semporna," katanya.

Artikel Berkaitan:

Sebelum itu, Norrimi turut menasihatkan komuniti maritim supaya sentiasa mengutamakan keselamatan ketika melakukan aktiviti di laut berikutan keadaan angin dan ombak yang tinggi di kawasan pantai timur Sabah sehingga 20 Januari ini.