'Ada nama-nama besar hasrat sertai Parti Bangsa Malaysia'

Naib Presiden PBM, Dr Satish Kumar (kiri) membuat simbolik penyerahan baju kepada Penyelaras PBM Padang Terap, Hashim Idris (tiga dari kanan) sambil disaksikan Setiausaha Agung PBM, Nor Hizwan Ahmad (dua dari kanan) pada Majlis Ramah Mesra Penyelaras-Penyelaras Parti Bangsa Malaysia Kedah di sebuah hotel di bandaraya Alor Setar pada Ahad.
Naib Presiden PBM, Dr Satish Kumar (kiri) membuat simbolik penyerahan baju kepada Penyelaras PBM Padang Terap, Hashim Idris (tiga dari kanan) sambil disaksikan Setiausaha Agung PBM, Nor Hizwan Ahmad (dua dari kanan) pada Majlis Ramah Mesra Penyelaras-Penyelaras Parti Bangsa Malaysia Kedah di sebuah hotel di bandaraya Alor Setar pada Ahad.
A
A
A

ALOR SETAR - Parti yang dijenamakan semula dari Parti Pekerja Sarawak (SWP) iaitu Parti Bangsa Malaysia (PBM) makin mendapat perhatian rakyat di negara ini.

Setiausaha Agungnya, Nor Hizwan Ahmad berkata, ramai yang menyatakan minat untuk menjadi ahli PBM dan parti ini terbuka menerima kemasukan ahli termasuklah dari parti lain.

Menurutnya, ada nama-nama besar yang turut menyatakan hasrat untuk menyertai parti ini, bagaimanapun ia tidak dapat didedahkan ketika ini.

“Setiap hari pasti ada cakap-cakap tentang Parti Bangsa Malaysia, ada yang memuji dan ada yang mengkritik, namun yang pastinya kehadiran kita memberi impak.

“Memang ramai ingin sertai dan kita sedang proses permohonan, malah terbuka dengan penyertaan rakyat Malaysia yang berkongsikan matlamat sama,” katanya.

Beliau berkata sedemikian kepada Sinar Harian selepas Majlis Ramah Mesra Penyelaras-Penyelaras Parti Bangsa Malaysia Kedah di sebuah hotel di bandaraya Alor Setar di sini pada Ahad.

Hadir sama, Naib Presiden PBM, Dr Satish Kumar; Ketua Wanita PBM, Dr Daroyah Alwi; Ketua Pemuda PBM, Na’im Brundage dan Penyelaras PBM Kedah, Yahya Musa.

Dalam perkembangan sama, Nor Hizwan menjelaskan Kedah merupakan negeri ketiga dijelajahi selepas negeri lain dalam siri jelajah PBM di kawasan Utara.

Artikel Berkaitan:

“Dalam pertemuan kali ini, kita memberi taklimat khas bagi memastikan pematuhan perlembagaan yang ditetapkan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS),” katanya.

Beliau berharap pertemuan itu diharapkan dapat memberi penerangan tentang enam tunjang utama PBM iaitu agenda pelbagai kaum, mengangkat martabat orang muda pada tempatnya, golongan wanita, pendidikan, ekonomi, sains dan teknologi.

Tambah beliau, PBM adalah parti yang memberi peluang terbaik kepada golongan wanita dan anak muda melalui kuota 30 peratus yang diletakkan dalam perlembagaan parti.