X

Kindly register in order to view this article
!

Jumaat | 20 Mei 2022

Budak 4 tahun ditemui mati lemas

Mayat Mohd Ridwan ditemui terapung di sungai Ladang Man Coon, Beluran, oleh pasukan bomba yang terlibat dalam operasi SAR.
A
A

BELURAN - Kanak-kanak lelaki berusia empat tahun yang dilaporkan hilang sejak tiga hari lalu akhirnya ditemui dalam keadaan terapung di sungai Ladang Man Coon, pada Isnin.

Mayat Mohd Ridwan Suprianto Mohd Aidil ditemui pada jam 9.50 pagi di lokasi kira-kira satu kilometer dari jarak mangsa dilaporkan lemas.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Beluran, Rastam Keladi berkata, seramai lima anggota terbabit dalam operasi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa yang dilaporkan lemas di sungai itu pada Sabtu lepas.

"Operasi SAR diteruskan hari ini dan hasil pencarian berjaya menemui mangsa dalam keadaan terapung di sungai terbabit.

"Mayat mangsa kemudian diserahkan kepada polis untuk tindakan selanjutnya," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Isnin.

Rastam berkata, operasi SAR dibantu oleh Unit Pasukan Penyelamat di Air (PPDA) Zon Sandakan, Unit Pengesan K9 bersama anjing pengesan serta agensi bantuan daripada Angkatan Pertahanan Awam (APM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Menurutnya, dengan penemuan mayat mangsa, operasi SAR ditamatkan pada jam 10.30 pagi.

Sinar Harian pada Ahad melaporkan Mohd Ridwan dikhuatiri lemas ketika mandi di sungai bersama rakan-rakannya di ladang terbabit.

Kanak-kanak terbabit hanya disedari hilang selepas seliparnya ditemui di sungai berkenaan.


Jangan lupa follow kami di Instagram, Telegram dan TikTok
Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!