Remaja curi tabung masjid: Hukuman jel, denda diketepikan

Mahkamah Tinggi Shah Alam pada Isnin, mengenepikan hukuman penjara 10 hari dan denda RM4,000 terhadap remaja yang dimandikan seperti jenazah, atas kesalahan cubaan mencuri tabung masjid di Kuang, Rawang minggu lalu.
Mahkamah Tinggi Shah Alam pada Isnin, mengenepikan hukuman penjara 10 hari dan denda RM4,000 terhadap remaja yang dimandikan seperti jenazah, atas kesalahan cubaan mencuri tabung masjid di Kuang, Rawang minggu lalu.
A
A
A

SHAH ALAM - [DIKEMAS KINI] Mahkamah Tinggi di sini pada Isnin, mengenepikan hukuman penjara 10 hari dan denda RM4,000 terhadap remaja yang dimandikan seperti jenazah, atas kesalahan cubaan mencuri tabung masjid di Kuang, Rawang minggu lalu.

Hakim Datuk Abd Halim Aman memutuskan demikian terhadap Daniel Iskandar, 19, selepas mendengar hujahan daripada pihak pendakwaan dan pembelaan.

Beliau berkata, hukuman itu diganti kepada khidmat masyarakat selama 120 jam bagi tempoh enam bulan.

Ketika membaca keputusan penghakimannya, hakim Abd Halim berkata, Daniel selaku pesalah muda itu perlu melaporkan diri kepada pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dalam tempoh tujuh hari bermula Isnin dan hadir mengikut jadual serta mematuhi setiap aktiviti yang ditetapkan.

"Mahkamah juga memerintahkan supaya khidmat masyarakat itu melibatkan kerja-kerja di masjid sahaja.

"Jika gagal melaksanakan perintah khidmat masyarakat dalam tempoh itu, beliau berkata, pesalah muda berkenaan boleh dihadapkan semula ke mahkamah dan dihukum mengikut peruntukan asal," katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, setelah meneliti hukuman yang dijatuhkan, beliau memutuskan keputusan Mahkamah Majistret Selayang adalah keterlaluan kerana ia tidak mencerminkan bentuk pemulihan.

Beliau berkata, mengikut fakta, pesalah muda ini mengaku pada peringkat pertama pertuduhan dibaca, lahir dari keluarga susah, tidak berpendidikan tinggi dan tinggal bersama datuk selepas ibu bapa bercerai.

Artikel Berkaitan:

Katanya, diakui bahawa mencuri merupakan satu kesalahan tetapi ia bukan jenayah yang berat, apa yang dilakukan cubaan semata-mata.

"Saya rasa hukuman paling sesuai ke atas pesalah ini adalah perintah khidmat masyarakat bukan dihantar terus ke penjara.

"Hukuman khidmat masyarakat itu dapat mengelak daripada bercampur dengan penjenayah berat dan tegar," katanya.

Begitu juga denda, hakim Abd Halim berkata, pesalah muda itu tidak akan mampu untuk membayarnya, yang akhirnya tetap akan dipenjarakan.

Dalam kes ini, pendakwaan diwakili Timbalan Pendakwa Raya, Norhana Sahat manakala pesalah muda itu diwakili peguam, Muhammad Rafique Rashid Ali, Fahmi Abdul Moin, Azman Abdullah dan Ilyani Khszairy.

Ia turut dihadiri peguam Haniff Khatri Abdulla, Muhammad Hariz Yusoff, Nur Fatin Syakinah Kamarudin, Ahmad Khalil Md Rofiee dan Muhammad Mustaqim Ahmad Huzaini bagi Persatuan Peguam-Peguam Muslim Malaysia (PPMM) manakala Megat Abdul Munir Megat Abdullah Rafaie sebagai peguam pemerhati bagi Masjid Al Islahiah, Kuang, Rawang.

Semasa prosiding, Muhammad Rafique memaklumkan, ketika kejadian, anak guamnya berusia 18 tahun empat bulan iaitu masih muda, mempunyai masa depan dan kesalahan itu merupakan kali pertama dilakukannya.

Maka pihaknya memohon hukuman ditukarkan mengikut Seksyen 173A Kanun Acara Jenayah (CPC).

Walaupun tertuduh akan dibebaskan pada petang ini, namun Muhammad Rafique berkata, rekod penjara 10 hari dan denda RM4,000 boleh menjejaskan masa depannya.

“Saya mohon budi bicara mahkamah mengguna pakai Seksyen 173A CPC dengan memberi teguran dan amaran tegas.

"Saya juga memohon agar rekod penjara dipadamkan kerana boleh merisikokan masa depannya,” katanya.

Bagaimanapun, Norhana berkata, tiada ketidakpatuhan prosedur daripada pihak polis, pendakwaan dan penghakiman Mahkamah Majistret Selayang.

"Jadi tidak perlu semakan dibuat kerana hukuman telah diputuskan malah denda telah dibayar Jumaat lalu.

"Selain itu, hukuman penjara 10 hari yang ditetapkan akan tamat hari ini," katanya.

Pada empat hari lalu, Sinar Harian melaporkan, seorang remaja yang tular selepas dimandikan seperti jenazah, dipenjara 10 hari dan denda RM4,000 oleh Mahkamah Majistret di sini pada Khamis kerana cuba mencuri tabung masjid di Kuang, Rawang.

Daniel yang juga penganggur dikenakan hukuman itu selepas mengaku bersalah atas pertuduhan yang dibaca di hadapan Majistret Nik Mohd Fadli Nik Azlan.