Produk Peladang dibawa ke Ekspo Dubai

Che Abdullah (dua dari kanan) bersama Azulita (dua dari kiri) dan Baharozaman (kiri) mempamerkan produk jenama Peladang selepas Majlis Pelancaran Produk Peladang ke Ekspo 2020 Dubai pada Isnin.
Che Abdullah (dua dari kanan) bersama Azulita (dua dari kiri) dan Baharozaman (kiri) mempamerkan produk jenama Peladang selepas Majlis Pelancaran Produk Peladang ke Ekspo 2020 Dubai pada Isnin.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Pertubuhan Peladang Kebangsaan (Nafas) melalui Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) mengembangkan lagi jaringan eksport pertanian negara ke Ekspo 2020 Dubai dengan memperkenalkan produk Industri Asas Tani di bawah jenama Peladang dengan kualiti bertaraf antarabangsa.

Pengerusi LPP, Datuk Che Abdullah Mat Nawi berkata, sebanyak 73 unit simpanan stok (SKU) produk berasaskan industri Peladang dibawa ke ekspo tersebut bersempena minggu 'Sustainable Agriculture Week 21' yang akan berlangsung pada 20 hingga 26 Februari ini.

Menurutnya, Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) akan terlibat secara langsung dalam Ekspo 2020 Dubai pada minggu ke-21 bagi mempromosi dan memperkenalkan kekayaan sumber pertanian negara dan produk olahan pertanian dengan potensi pasaran yang besar.

"Produk jenama Peladang ini sangat berpotensi untuk masuk ke pasaran antarabangsa. Jadi kita telah pun mengadakan perbincangan dengan pihak di Dubai, di mana kita akan berbincang dengan Lulu Hypermarket yang merupakan pasar terbesar di sana.

"Kalau kita dapat masuk ke pasaran sana, ia dapat membuka satu ruang pasaran yang luas kepada produk Malaysia khususnya projek peladang yang akan dikembangkan dari semasa ke semasa sekali gus dapat menjana pendapatan.

"Selain itu, produk-produk keluaran usahawan peladang lain di bawah LPP yang berpotensi untuk dieksport turut diberi peluang untuk bersama- sama memperkenalkan produk mereka di sana," katanya kepada pemberita selepas Majlis Pelancaran Produk Peladang ke Ekspo 2020 Dubai, di sini pada Rabu.

Menurut Ketua Pengarah LPP, Datuk Azulita Salim, melalui ekspo itu, LPP bersama Nafas akan turut menjalankan beberapa usaha sama rakan antarabangsa termasuk menandatangani memorandum persefahaman (MoU).

"Salah satunya kita akan adakan persefahaman dengan Lulu Hypermarket sebagai platform untuk memasarkan lebih luas potensi pasaran kepada produk Peladang," ujarnya.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, ditanya mengenai jangkaan pihak Nafas dalam industri eksport ayam, Pengurus Kanan Kumpulan Perniagaan Nafas, Baharozaman Mohid berkata, mereka bercadang untuk menjalinkan usaha sama dengan penggiat industri di Timur Tengah sesuai dengan permintaan yang diperlukan di sana.

"Pastinya di sebelah Timur Tengah mungkin cita rasanya agak berbeza dengan kita di sini. Jadi kita telah melakukan beberapa siri perbincangan dengan rakan niaga di sana untuk disesuaikan dengan permintaan dan kita sasarkan untuk menembusi pasaran di sana pada tahun akan datang," kata beliau.