RM10 juta untuk pembangunan sukan bola sepak

Gambar kecil: Ismail Sabri mengorek tanah menggunakan jentolak sebagai gimik perasmian pecah tanah Ibu Pejabat FAM dekat sini, pada Isnin.
Gambar kecil: Ismail Sabri mengorek tanah menggunakan jentolak sebagai gimik perasmian pecah tanah Ibu Pejabat FAM dekat sini, pada Isnin.
A
A
A

PUTRAJAYA - [DIKEMASKINI] Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan sumbangan RM10 juta kepada Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) sebagai sokongan terhadap pembangunan sukan itu di negara ini.

Menurutnya, kerajaan sentiasa melakukan yang terbaik untuk membantu perkembangan mutu bola sepak negara.

"Peta Hala Tuju atau F:30 yang dilancarkan pada 2018 pula adalah simbol kesungguhan FAM dalam melaksanakan pelan menyeluruh ke arah menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara bola sepak yang disegani," katanya.

Beliau berkata, sasaran utama F:30 adalah untuk menjadikan pasukan bola sepak negara sebagai salah satu daripada lima terbaik di Asia menjelang tahun 2030.

"Ia hanya mampu dicapai dengan syarat pucuk pimpinan FAM sentiasa menambah baik hala tuju dalam tempoh 12 tahun dari semasa ke semasa dan tidak lari dari objektif asal," katanya dalam ucapan majlis pecah tanah Ibu Pejabat FAM, dekat sini pada Isnin.

Turut hadir, Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu, Menteri Tenaga dan Sumber Asli, Datuk Seri Takiyuddin Hassan, Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Dr Noraini Ahmad dan Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin,

Ismail Sabri berkata, pembangunan pemain bola sepak bukan setakat infrastruktur yang canggih dan moden semata-mata.

"Bola sepak negara hanya akan maju apabila melibatkan pembangunan pemain yang sistematik bermula dari peringkat akar umbi dan seterusnya menggilap bakat mereka sehingga menjadi aset terbaik negara," katanya.

Artikel Berkaitan:

Ujarnya, pembangunan akar umbi yang mantap dan berkesan memerlukan semangat profesionalisme tinggi yang menuntut sesebuah organisasi dan juga individu untuk membuat perancangan rapi.

"Seorang pemain bola sepak yang berbakat perlu dibimbing oleh jurulatih terbaik dari usia muda.

Jurulatih pula katanya, perlu mendapat tunjuk ajar daripada instruktur atau jurulatih pakar.

"Proses ini bukanlah satu rahsia besar tetapi menjadi formula kejayaan untuk mana-mana pasukan," katanya.

Tambah Ismail, dengan kemahiran teknikal yang dimiliki hasil daripada bimbingan jurulatih hebat, ia sekaligus meningkatkan kebolehpasaran pemain bukan sahaja di liga tempatan malah ke peringkat antarabangsa.

Mengambil contoh pasukan Chelsea yang berpangkalan di Stamford Bridge, England, ekosistem The Blues itu adalah cukup lengkap.

"Akademi mereka mengendalikan pasukan dianggotai pemain semuda sembilan hingga 23 tahun, satu ekosistem yang menuntut pembabitan jurulatih, pengurusan kelab dan sokongan ibu bapa," katanya.

Selain meningkatkan kemampuan teknikal, kelab itu juga katanya, membangunkan daya kebolehpasaran serta kualiti pemain yang menyarung jersi biru itu.

"Ini yang patut dicontohi oleh kelab-kelab bola sepak di negara in," katanya.

Tapak seluas 2.43 hektar itu akan memulakan pembinaan pada tahun ini dan menjadi Ibu Pejabat FAM yang ketiga.

Wisma FAM yang terletak di Kelana Jaya telah beroperasi sejak lewat 1980-an.