[VIDEO] Tahanan ditemui mati dalam lokap

Seorang suspek lelaki ditemukan mati di dalam lokap di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Bharu pada petang Ahad.
Seorang suspek lelaki ditemukan mati di dalam lokap di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Bharu pada petang Ahad.
A
A
A

KOTA BHARU - [DIKEMASKINI] Seorang suspek berkait kes pemilikan dadah ditemukan mati ketika berada di dalam lokap Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Bharu, di sini, pada petang Ahad.

Suspek lelaki yang berusia 37 tahun itu disahkan meninggal dunia pada jam 5 petang.

Pemangku Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Superintendan Mohd Suhaimi Ali berkata, suspek sebelum itu ditemukan tidak sedarkan diri di dalam sel semasa pemeriksaan rutin berkala yang dilakukan oleh pihak polis.

“Suspek disangkakan tidur dan dikejutkan namun tidak bangun menyebabkan polis menghubungi pegawai perubatan.

“Pegawai perubatan yang tiba dari Klinik Kesihatan Pengkalan Chepa ke lokap IPD Kota Bharu mengesahkan suspek sudah meninggal dunia,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Isnin.

Beliau berkata, suspek tersebut ditahan pada Sabtu lalu bagi membantu siasatan kes pemilikan dadah mengikut Seksyen 12(2) dan Seksyen 15 (1) (a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

“Ujian saringan awal urin suspek sebelum ini didapati positif dadah jenis metamphetamine.

“Suspek berada dalam tempoh tahanan reman sebelum didapati meninggal dunia di dalam sel di IPD Kota Bharu,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Tambah beliau, setakat ini, kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.

“Pasukan dari Unit Forensik turut memeriksa mayat di lokasi sebelum dibawa ke Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II), Kota Bharu untuk bedah siasat.

“Siasatan bagaimanapun masih dijalankan dan mayat dijangka menjalani proses bedah siasat itu pada hari ini,” katanya.