Pengurus rugi RM9,207 ditipu 'Nurul'

Gambar hiasan. - Foto 123rf
Gambar hiasan. - Foto 123rf
A
A
A

KUANTAN - Seorang pengurus sebuah syarikat tidak menyangka tawaran iklan pinjaman wang kelihatan seperti milik syarikat wang berlesen, rupanya taktik licik digunakan sindiket pinjaman tidak wujud.

Wanita berusia 22 tahun itu mendakwa berdepan kerugian RM9,207 selepas diperdaya seorang individu dikenali Nurul yang mendakwa kononnya mewakili bahagian pinjaman peribadi syarikat berkenaan

Ketua Siasatan Jenayah Komersial Pahang, Superintendan Mohd Wazir Mohd Yusof berkata, mangsa sebelum itu dikatakan berminat untuk membuat pinjaman wang RM10,000 dan bersetuju untuk membayar RM323 sebulan dalam tempoh tiga tahun.

"Suspek minta mangsa bayar RM677 untuk urusan deposit dan wanita itu kemudian membuat pemindahan wang secara dalam talian pada Ahad.

"Selepas itu, mangsa diminta untuk membuat pelbagai bayaran berkaitan dengan pinjaman termasuk surat pinjaman, duti setem dan insurans yang dianggarkan berjumlah RM8,530," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Beliau menjelaskan mangsa membuat pembayaran melalui lima transaksi secara dalam talian ke dalam beberapa akaun bank berbeza diberikan suspek.

Katanya, mangsa gagal menghubungi suspek selepas membuat kesemua transaksi itu antara 9 hingga 11 Januari lalu yang berjumlah RM9,207.

"Susulan itu, mangsa tampil membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Cameron Highlands selepas merasakan dirinya ditipu.

Artikel Berkaitan:

"Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu," ujarnya.

Dalam pada itu, Mohd Wazir berkata, modus operandi digunakan suspek dengan memperdaya mangsa melalui tawaran menawarkan pinjaman wang yang tidak wujud di laman Facebook.

Tambahnya, tawaran itu sebagai taktik untuk mendorong mangsa menyerahkan wang dan mengalami kerugian.