[VIDEO] OKU merangkak usahakan kebun sara keluarga

Orang kurang upaya (OKU) fizikal, Muhammad Hafidz Abdul Rahman,40, yang terpaksa merangkak untuk bercucuk tanam di kebunnya di Rimba Organik Komuniti (ROK) di Kubang Kerian, Kota Bharu.
Orang kurang upaya (OKU) fizikal, Muhammad Hafidz Abdul Rahman,40, yang terpaksa merangkak untuk bercucuk tanam di kebunnya di Rimba Organik Komuniti (ROK) di Kubang Kerian, Kota Bharu.
A
A
A

KOTA BHARU - Tidak menjadi satu halangan buat seorang lelaki orang kurang upaya (OKU) walaupun terpaksa merangkak untuk menanam anak pokok di kebun seluas 0.2 hektar yang diusahakan bersama isterinya juga OKU di Kampung Pulau Hilir, Kubang Kerian di sini.

OKU fizikal berkenaan, Muhammad Hafidz Abdul Rahman, 40, berkata, bahkan berbesar hati melakukan kerja halal itu bagi menyara kehidupan isteri, Nurul Izzaifah Daud, 33, bersama dua anak perempuan mereka yang normal berusia lapan tahun dan enam bulan.

Katanya, dia perlu merebahkan badan dan merangkak untuk menanam anak pokok kerana kedua-dua belah kakinya tidak dapat diluruskan dan terpaksa berjalan dalam keadaan lutut yang membengkok.

“Tidak jadi masalah sebab keadaan ini saya hadapi sejak lahir, sama juga seperti keadaan isteri.

Kami adalah bekas atlet paralimpik Kelantan, saya dalam sukan angkat berat manakala isteri bermain bola jaring.

Pasangan orang kurang upaya (OKU) fizikal, Muhammad Hafidz Abdul Rahman, 40, (kanan) dan isteri, Nurul Izzaifah Daud, 33, bersama-sama mengupas kulit kunyit sebelum dikisar dan digaul bersama garam sebelum dijual kepada pelanggan.
Pasangan orang kurang upaya (OKU) fizikal, Muhammad Hafidz Abdul Rahman, 40, (kanan) dan isteri, Nurul Izzaifah Daud, 33, bersama-sama mengupas kulit kunyit sebelum dikisar dan digaul bersama garam sebelum dijual kepada pelanggan.

Artikel Berkaitan:

“Cuma sekarang tidak boleh merangkak terlalu lama kerana akan terasa sakit pada bahagian pinggang, berbeza berbanding ketika usia muda dahulu,” katanya ketika ditemui di rumahnya di kebun Rimba Organik Komuniti (ROK) di Kubang Kerian di sini.

ROK dijalankan dengan kerjasama Min House Camp, Universiti Sains Malaysia (USM), Persatuan Cina Muslim Malaysia (Macma), Persatuan Sindrom Down Kelantan dan Persatuan Pertanian Kelantan melibatkan 20 OKU yang mengusahakan kebun di tanah wakaf sebagai ikhtiar sara hidup sejak Ogos tahun lalu.

Muhammad Hafidz berkata, pihaknya tidak mahu mengharapkan belas ihsan orang ramai sebaliknya berusaha dan dia sendiri mempunyai pekerjaan tetap sebagai pereka grafik manakala isterinya pula membuat kuih-muih serta mengambil pelbagai tempahan makanan kenduri.

Muhammad Hafidz
Muhammad Hafidz

“Saya bermula sebagai pereka grafik pada tahun 2013 dengan bekerja di sebuah syarikat namun terjejas akibat Covid-19 dan syarikat terpaksa gulung tikar pada 2019.

“Sejak itu saya melakukan kerja sebagai pereka grafik untuk iklan dan risalah secara sendiri menerusi promosi di Facebook dengan memperoleh pendapatan kira-kira RM700 sebulan bergantung kepada tempahan pelanggan,” katanya.

Nurul Izzaifah pula berkata, pokok ulaman dan sayuran seperti kunyit, lengkuas dan serai yang ditanam di kebun itu akan dijual oleh mereka bagi menambahkan pendapatan.

“Selain menjual secara terus, saya juga memproses kunyit menjadi garam kunyit yang siap dikisar dan dijual RM2 bagi bekas kecil manakala RM10 untuk saiz yang lebih besar.

“Alhamdulillah, terlalu ramai membantu termasuk Macma yang membina rumah di kebun ini dan setiap kami menerima bantuan Elaun Pekerja Cacat (EPC) berjumlah RM450 setiap bulan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM),” katanya.

Bagi yang ingin membantu boleh salurkan ke akaun Bank Islam Nurul Izzaifah Daud 03036021177976 atau hubunginya di talian 0179624044.