Sepakat tangguh PRN Johor tindakan bijak

Gambar hiasan - Foto Bernama
Gambar hiasan - Foto Bernama
A
A
A

PENAT berkempen pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka November lalu belum pun habis, timbul pula ura-ura PRN Johor.

Adakah dengan mengadakan PRN Johor ia menjadi picu kepada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) yang dipercayai akan turut dilaksanakan tahun ini?

Kalau kita lihat situasi politik di Johor masih tenang di samping tiada desakan pembangkang meminta PRN diadakan segera. Justeru, cadangan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) dalam masa terdekat perlu difikirkan semasak-masaknya.

Hal yang demikian adalah kerana ia perlu mengambil kira keseluruhan faktor termasuk tuntutan rakyat yang meminta kebajikan mereka diberi perhatian berbanding PRN.

Desas-desus pembubaran DUN bagi memberi laluan PRN Johor dalam masa terdekat hangat diperkatakan sejak ADUN Kempas, Datuk Osman Sapian yang juga bekas Menteri Besar Johor meninggal dunia pada 21 Disember lalu.

Terdapat 56 kerusi di DUN Johor dengan agihan terkininya adalah UMNO dan DAP masing-masing 14, Bersatu (11), MIC (2), Pas (1), manakala Amanah (6) dan PKR (7).

Kerajaan Johor memiliki majoriti tipis dengan 28 kerusi berbanding 27 kerusi di blok pembangkang, berikutan kematian ADUN Kempas.

Ada juga dakwaan termasuk seorang ADUN kerajaan bakal mengisytiharkan sebagai ADUN Bebas bagi memberi laluan kepada PRN juga mulai bertiup kencang.

Artikel Berkaitan:

Menteri besar dan kepimpinan parti perlu juga mempertimbangkan kesemua faktor dan tidak boleh menyamakan impak pelaksanaan PRN Melaka dengan PRN Johor kerana negeri Johor memiliki kawasan DUN yang lebih besar.

Menurut ADUN Panti, Hahasrin Hashim, mereka juga harus melihat percaturan politik lebih strategik kerana buat masa ini BN Johor tidak berdepan masalah bekerjasama dengan parti-parti lain dalam kerajaan negeri.

Malah, Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, PKR dan Pakatan Harapan (PH) Johor berpendirian tidak setuju terhadap sebarang usaha mengadakan PRN dalam masa terdekat ketika masalah Covid-19 masih belum selesai, selain situasi banjir di negeri itu yang belum pulih sepenuhnya.

UMNO Johor turut menafikan sebarang perbincangan telah dibuat berhubung spekulasi pembubaran DUN Johor dan PRN yang akan diadakan dalam masa terdekat.

Setiausahanya, Datuk Samsolbari Jamali berkata, perkara berhubung PRN itu hanyalah khabar angin malah di peringkat parti juga tiada sebarang perbincangan mengenainya. Fokus utama parti ketika ini juga bukan semata-mata untuk berpolitik sebaliknya menumpukan sepenuhnya kepada kerja-kerja menangani wabak Covid-19 dan bencana yang berlaku.

Bagi meredakan desas-desus PRN Johor ini, Menteri Besar Johor, Datuk Hasni Mohammad memaklumkan bahawa beliau tidak pernah membuat sebarang keputusan berhubung isu PRN.

Majoriti tipis hanya dengan satu kerusi masih menjadi elemen utama yang dilihat kerajaan negeri sebelum memutuskan sebarang kemungkinan berlakunya pembubaran DUN berkenaan.

Penulis berpendapat tidak sesuai sekiranya PRN ini berlaku dalam masa terdekat kerana rakyat masih memerlukan bantuan dan sokongan daripada kerajaan untuk kelangsungan hidup selepas kejadian banjir di beberapa negeri dan kes Covid-19 yang masih belum reda.

Eloklah sekiranya bajet PRN itu disalurkan kepada perkara yang lebih bermanfaat untuk rakyat.

Jika PRN ini bertujuan untuk kestabilan politik itu sendiri yang boleh memberi impak dalam pelbagai sudut wajarlah dilaksanakan tetapi politik di Johor masih lagi boleh dianggap tenang, tiada sebab DUN perlu dibubarkan.

Ketika rakyat sedang bergelut dengan kehilangan harta benda akibat banjir, ekonomi tidak menentu, kehilangan pekerjaan, malah kemunculan jangkitan varian baharu, adalah tidak wajar sekiranya PRN Johor diteruskan.

Kepada orang politik, sepakatlah untuk menangguhkan PRN Johor, ini bukan masa untuk merebut kuasa sebaliknya kebajikan rakyat dijaga.

Bagi mereka yang pegang amanah rakyat, laksanakan tanggungjawab itu dan tunggu sahajalah PRU15.

* Zairani Ibrahim ialah Penyunting Kandungan Sinar Harian