Penduduk diarah pindah kerana pencemaran udara

Ciapan Twitter Tuan Ibrahim pada malam Ahad.
Ciapan Twitter Tuan Ibrahim pada malam Ahad.
A
A
A

SHAH ALAM - Penduduk yang tinggal di lokaliti Ladang Byram dan Kampung Kebun Baru, Pulau Pinang dinasihatkan untuk berpindah sementara berikutan berlaku pencemaran udara.

Menteri Alam Sekitar dan Air (KASA), Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, keputusan itu diambil selepas Jabatan Alam Sekitar (JAS) Pulau Pinang melakukan pemantauan kualiti udara di tiga lokasi iaitu Masjid Daerah Seberang Perai Selatan, Dewan Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Changkat dan Dewan MPKK Kampung Kebun Baru.

Selain itu katanya, JAS turut menempatkan stesen pengawasan kualiti mudah alih di Sekolah Jenis Kebangsaan (Tamil) Ladang Byram.

"Berdasarkan pemantauan, terdapat kandungan gas yang boleh memberi risiko kesihatan.

"Justeru, penduduk yang tinggal di lokaliti Ladang Byram dan Kampung Kebun Baru dinasihatkan untuk berpindah buat sementara waktu.

"JAS Pulau Pinang terus membuat pemantauan kualiti udara dari semasa ke semasa," ciapnya di Twitter pada malam Ahad.

Media pada Ahad melaporkan, dua pusat pemindahan sementara (PPS) akan dibuka di Sekolah Kebangsaan (SK) Saujana Indah dan SK Bakap Indah bagi memindahkan penduduk Ladang Byram dan Kampung Kebun Baru, di sini kerana berdepan masalah pencemaran udara.

Ia susulan kebakaran Tapak Pelupusan Sampah Pulau Burung, di sini yang berlaku sejak Rabu lalu dan hingga kini masih tidak dapat dipadamkan sepenuhnya.

Artikel Berkaitan: