FAM perlu jaminan kerajaan anjur Kelayakan Piala Asia 2023

Mohd Yusoff
Mohd Yusoff
A
A
A

HASRAT Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) untuk menjadi tuan rumah Pusingan Ketiga Kelayakan Piala Asia 2023 yang dijadualkan Jun ini, perlu ‘restu’ kerajaan untuk direalisasikan.

Menurut Timbalan Presiden FAM, Datuk Mohd Yusoff Mahadi, prosedur operasi standard (SOP) berkaitan Covid-19 seperti kuarantin kepada mana-mana individu yang memasuki negara menjadi antara kekangan dalam meyakinkan Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC).

"Kita (FAM) memang sedang berusaha menjadi tuan rumah, tetapi saya ada maklumat yang mungkin faktor kuarantin dan SOP (Covid-19) akan menjadi sedikit halangan untuk bidaan kita. Ada kerisauan di pihak AFC jika kerajaan tidak benarkan pertandingan kalau berlaku peningkatan kes secara tiba-tiba.

"Sekiranya dapat jaminan bahawa pertandingan ini tetap akan dilaksanakan, kita rasa mempunyai peluang yang cerah untuk pusingan kelayakan ini diadakan di Malaysia tahun ini,” katanya kepada pemberita baru-baru ini.

Mohd Yusoff berkata, FAM tiada masalah dari segi kos penganjuran, namun jaminan kerajaan dianggap mustahak dalam merealisasikan impian itu supaya skuad Harimau Malaya mempunyai kelebihan beraksi di laman sendiri.

Beliau berkata, Stadium Nasional Bukit Jalil sememangnya menjadi venue utama manakala venue lain akan dibincangkan kemudian.

Sebelum ini, FAM berhasrat untuk menjadi satu tuan rumah daripada enam venue berpusat yang akan ditawarkan kepada 24 pasukan bertanding demi sasaran layak ke kejohanan utama di China pada 2023.

Pada pusingan ketiga kelayakan itu, sebanyak 24 pasukan akan diundi dalam enam kumpulan dengan hanya 11 pasukan terbaik berpeluang menyertai 13 pasukan yang telah pun melayakkan diri ke Piala Asia 2023 yang dijadual diadakan di China tahun hadapan bermula 16 Jun hingga 16 Julai. - Bernama

Artikel Berkaitan: