Pas nafi gugur Khairuddin sebab PN, MN

Takiyuddin
Takiyuddin
A
A
A

KOTA BHARU - Pihak yang berani mengaitkan penarikan jawatan Ahli Jawatankuasa Pas Pusat yang disandang Ahli Parlimen Kuala Nerus, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali dengan isu Perikatan Nasional (PN) mahupun Muafakat Nasional (MN) berdepan tindakan undang-undang.

Itu amaran diberikan Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan yang menafikan pengguguran Khairuddin ada kaitan dengan isu PN mahupun MN.

“Saya menafikan kenyataan mana-mana pihak bahawa tindakan terhadap Khairuddin berpunca daripada isu berkaitan MN dan PN.

“Saya tidak mahu menghuraikan puncanya dan sesiapa yang berani kaitkannya dengan PN atau MN, saya akan ambil tindakan undang-undang,” katanya kepada pemberita di pusat khidmat Dewan Undangan Negeri (DUN), di sini, pada Ahad.

Beliau yang juga Menteri Tenaga dan Sumber Asli sebelum itu menyampaikan sumbangan daripada kerajaan Persekutuan berjumlah RM55,000 kepada lapan penerima yang mewakili persatuan, badan bukan kerajaan (NGO), sekolah serta individu.

Mengulas lanjut, Takiyuddin berkata, seseorang ahli jawatankuasa digugurkan atau dipecat oleh parti lazimnya akibat percanggahan dengan Perlembagaan parti atau dianggap sebagai tindakan disiplin.

“Dalam Pas tidak pernah ada kes berpunca daripada perbezaan pendapat yang menyebabkan seseorang itu digugurkan atau dipecat.

“Kecuali ada tindakan yang bercanggah dengan Perlembagaan parti dan Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang berhak menamatkan lantikan jika seseorang tidak melaksanakan tanggungjawab sebagaimana sepatutnya,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, proses pemecatan memerlukan persetujuan yang dibuat menerusi mesyuarat jawatankuasa Pas sama seperti pelantikan.

“Ini bagi menjaga ketelusan pentadbiran dan dalam Pas lagi ketat, nak melantik seseorang tidak ada kuasa veto tetapi mestilah dengan persetujuan mesyuarat.

“Pas meraikan semua pandangan walaupun berbeza pendapat untuk menghasilkan keputusan yang mantap,” katanya.

Pada Rabu, Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang, berkata pengguguran mana-mana pemimpin adalah perkara biasa dalam Pas, termasuk diberhentikan atau ditukarkan.

Katanya, pengguguran bekas Menteri Perusahaan, Perladangan dan Komoditi itu diputuskan pada mesyuarat Pas yang diadakan di ibu pejabat parti di Kuala Lumpur.

"Pengguguran itu mestilah mempunyai alasan kerana dalam parti kita ada jawatankuasa disiplin, siapa yang tidak ikut disiplin boleh ditukarkan jawatan dan bertugas di tempat lain, digantung keahlian serta boleh dipecat," katanya.