X

Kindly register in order to view this article
!

Ahad | 22 Mei 2022

Isu tokong: Jawatankuasa khas libatkan parti politik

Datuk Seri Saarani Mohamad - Foto Bernama
A
A

IPOH - Jawatankuasa khas menentukan status rumah ibadat di dalam gua batu kapur yang diwujudkan kerajaan negeri akan turut melibatkan parti-parti politik.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, jawatankuasa itu dikendalikan Pejabat Tanah dan Galian (PTG) serta Pejabat Daerah dan Tanah Kinta dengan turut melibatkan pengurusan rumah ibadat.

Menurutnya, sehingga kini pihak PTG sedang menunggu senarai nama ahli jawatankuasa rumah ibadat yang akan terlibat dalam perbincangan mengenai isu tersebut.

"Jawatankuasa ini akan ada wakil daripada kerajaan, pembangkang. Saya nak mengelakkan daripada ia dipolitikkan. Ini bukan isu politik jadi kita panggillah MCA, MIC, DAP dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) (berada dalam jawatankuasa).

"Kita libatkan juga jabatan teknikal, panggil pengusaha rumah ibadat kita duduk bincang kerana kita perlu mencari penyelesaian segera. Pada saya kerana isu keselamatan adalah keutamaan saya," katanya kepada pemberita selepas mengadakan lawatan ke Kampung Klebang Tambahan sempena Program Menteri Besar Bersama Rakyat (Mesra) Dewan Undangan Negeri (DUN) Manjoi di sini pada Ahad.

Saarani berkata, selepas semua nama itu diterima, jawatankuasa tersebut akan mengadakan perbincangan bagi mencari jalan penyelesaian kepada isu tersebut.

Katanya, semua tindakan terhadap isu tersebut akan diambil berasaskan kepada keputusan bersama jawatankuasa berkenaan.

Pada 12 Januari lalu, kerajaan Perak menubuhkan sebuah jawatankuasa khas bagi menangani isu rumah ibadat yang dibina di dalam kawasan gua.

Ia berikutan pengeluaran notis terhadap 14 pengusaha rumah ibadat dalam kawasan gua di atas tanah kerajaan sekitar Mukim Sungai Raya dan Mukim Hulu Kinta.

Media pada 9 Januari melaporkan pihak pengurusan Kuil Nam Thean Tong di Gunung Rapat menerima notis Pejabat Tanah Daerah Kinta pada Jumaat lepas supaya mengosongkan gua berkenaan dalam tempoh 30 hari.

Kuil yang terletak di dalam gua berkenaan dikatakan berusia 155 tahun dan merupakan satu daripada lokasi yang kerap dikunjungi serta terletak bersebelahan Kuil Sam Poh Tong yang merupakan destinasi pelancongan popular.


Jangan lupa follow kami di Instagram, Telegram dan TikTok
Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!