X

Kindly register in order to view this article
!

Jumaat | 01 Julai 2022

Kerajaan cadang pasang kolar penjejak pada Harimau Malaya

Takiyuddin Hassan
A
A

KOTA BHARU - Kementerian Tenaga dan Sumber Asli bercadang untuk memasang kolar penjejak pada kira-kira 150 ekor Harimau Malaya di seluruh negara untuk memudahkan urusan menjejaki haiwan mamalia itu.

Menteri Tenaga dan Sumber Asli, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, penggunaan kolar penjejak menggunakan teknologi satelit itu dapat mengesan sekiranya hidupan liar itu berpindah ke kawasan lain atau keluar dari habitat asal.

"Kita juga telah mengarahkan Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) untuk mengkaji penggunaan kolar penjejak berkenaan terhadap Harimau Malaya seperti yang digunakan terhadap gajah liar sebelum ini."

Sekiranya berkesan kita juga mahu gunakan kolar penjejak ini kepada Harimau Malaya supaya boleh jejak keberadaan haiwan tersebut," katanya selepas menyampaikan sumbangan kepada persatuan, badan bukan kerajaan (NGO) dan kelab di Pusat Khidmat Ahli Parlimen Kota Bharu pada Ahad.

Mengulas lanjut, Takiyuddin yang merupakan Ahli Parlimen Kota Bharu berkata, kerajaan memandang serius untuk melindungi Harimau Malaya daripada terancam dan pelbagai tindakan diambil untuk menyeimbangkan kepentingan pembangunan dan kelestarian alam.

"Kita sedar tentang perkara ini malahan kita telah mengambil tindakan yang luar biasa untuk menyelamatkan hidupan liar seperti baru-baru ini Perdana Menteri mempengerusikan mesyuarat membincangkan mengenai isu ini selain saya juga telah membawa pindaan Akta Perhilitan pada Disember tahun lalu dengan meningkatkan jumlah denda kepada mereka yang melakukan kesalahan terhadap hidupan liar," katanya.

Sementara itu, mengulas mengenai isu harimau berkeliaran di Pos Bihai, Gua Musang baru-baru ini dipercayai aktiviti pembalakan, Takiyuddin berkata, setiap kerajaan negeri diberikan kuasa mengikut undang-undang yang telah ditetapkan untuk menebang balak setiap tahun.

"Kerajaan negeri mempunyai hak untuk berbuat demikian kerana setiap tahun kerajaan negeri diberi kuasa untuk menebang balak menerusi Catuan Tebangan Tahunan (CTT) sebagai sumber ekonomi tetapi perlu ada penanaman semula dan mempunyai kawalan agar tidak menjejaskan habitat hidupan liar dan sebagainya," katanya.

Media sebelum ini melaporkan, kemeriahan sambutan perayaan menuai padi dan menangkap ikan sungai masyarakat orang asli suku kaum Temiar di Kampung Sau, Pos Bihai di sini bertukar tragedi apabila seorang lelaki maut dibaham harimau pada 7 Januari lalu.

Dalam kejadian kira-kira jam 9.10 pagi, mangsa, Anek Along, 59, dikatakan sedang menumbuk padi huma di belakang rumahnya namun didapati hilang sebelum mayatnya dijumpai penduduk di dalam hutan. -Bernama


Jangan lupa follow kami di Instagram, Telegram dan TikTok
Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!